utama

'Mulanya gusar...'

Oleh Ridzuan Abdul Rahman

KERJAYA seninya bermula sejak zaman kanak-kanak. Bagaimanapun, nama Eyra Hazali, 20, mula menyerlah dan menjadi perhatian menerusi drama Mr Grey apabila tampil sebagai pelakon utama di samping Fendy Bakry.

Tidak menoleh ke belakang, dia terus dihujani tawaran berlakon dan Eyra kini sibuk di lokasi penggambaran drama fenomena Nur 2 arahan Shahrulezad Mohameddin.

Baginya, itu adalah rezeki dan Eyra cuba memberikan yang terbaik dalam lakonannya.

“Saya pegang watak sebagai Suraya, kawan Amirul lakonan Raja Atiq iaitu adik kepada Ustaz Adam (Syafik Kyle).

“Suraya boleh dikatakan antara watak penting kerana dalam drama ini, setiap pasangan ada masalah masing-masing.

“Drama ini mempunyai banyak plot membabitkan setiap pasangan tetapi akhirnya semua akan bertemu dalam satu plot menarik,” katanya.

Menurutnya, penggambaran kini sudah mencecah 80 peratus dan dijangkakan selesai sepenuhnya pada 10 Mac ini.

“Suraya muncul dari awal cerita musim kedua. Hanya saya dan Azar Azmi tampil sebagai pelakon baru Nur 2.

“Saya dipanggil uji bakat untuk menentukan sama ada boleh buat watak ini kerana ia agak berat.

“Suraya budak sekolah yang berdepan banyak masalah dan ia bukan mudah ditangani.

“Dia juga tak mampu bayar yuran SPM dan daripada situlah masalah bermula,” katanya.

Eyra berkata, Ezad juga melakukan uji bakat beberapa pelakon lain dan tidak menyangka dia yang terpilih.

“Alhamdulillah ini rezeki saya. Jauh di sudut hati takut juga kerana Nur 2 antara drama yang ditunggu penonton.

“Untuk bawa watak ini, saya banyak rujuk Abang Ezad namun dia percayakan saya dan ketika mencipta watak Suraya dia tahu saya boleh buat.

“Jadi, keyakinan timbul apabila diberikan kepercayaan sebegini walaupun awalnya ada perasaan gusar,” katanya.

Kerjasama dengan Ezad bukanlah kali pertama dan mereka sudah tahu cara kerja masing-masing.

“Secara tak langsung semua kerja akan jadi mudah. Nur 2 diterbitkan 15 episod tapi ia belum mengatasi rekod saya berlakon drama Dia Atilia sebanyak 26 episod.

“Watak saya juga agak berat kerana jadi anak kepada Abang Zamarul Hisham,” katanya.

Ditanya jika pembabitannya dalam Nur 2 akan membantu menyerlahkan popularitinya dalam kalangan peminat, Eyra berkata, dia tidak pernah fikir begitu.

“Saya tak terfikir pun perkara ini tapi mengharapkan peminat ambil mesej yang disampaikan dalam Nur 2.

“Terlalu banyak mesej yang diketengahkan dan harap ia dapat jadi teladan semua.

“Pengajaran paling utama, kita perlu kembali kepada Allah apabila berdepan masalah besar,” katanya.

Dalam pada itu, Eyra juga sudah membintangi pelbagai filem termasuk Mama yang memberi kepuasan buatnya.

“Saya diberikan watak berbeza dalam filem ini.

“Penggambaran yang dibuat pada awal Januari membabitkan ramai pelakon iaitu Nabila Huda, Kodi Rasheed dan Engku Hariz sudah pun selesai.

“Ia diarahkan oleh Eyra Rahman dan tayangannya pada September nanti,” katanya yang turut membintangi filem Ratu Kala Jengking.

Eyra yang kini berhijab mengakui lebih berhati-hati memilih watak agar sesuai dengan imejnya.

“Empat tawaran filem terpaksa saya tolak kerana tidak sesuai.

“Walaupun kadang-kadang terfikir biarpun pakai tudung, lakonan saya itu untuk bagi mesej kepada orang ramai.

“Namun, nak beri mesej pun kena ikut logik kerana saya sudah bertudung.

“Sebenarnya, boleh kalau wanita bertudung bawa watak antagonis tetapi saya tak mahu ambil risiko kerana boleh mengundang kemarahan peminat dan pergaduhan sesama netizen,” katanya.

Sesibuk mana pun dengan lakonan, Eyra tetap melakukan persiapan perkahwinan dengan penjaga gol skuad bola sepak bawah 22 tahun negara, Muhammad Haziq Nadzli, 21, pada November nanti.

“Kami sudah tengok dewan, bincang berkenaan pengiring, hantaran dan sebagainya.

“Emak banyak bantu saya buat persiapan. Saya tetap akan berlakon kerana kalau duduk diam semata-mata nak buat persediaan, bosan juga jadinya,” katanya.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 6:31am
d