utama

Maut hari pertama

Oleh Zuliaty Zulkifli

HARI pertama bekerja sebagai pemandu traktor bertukar tragedi bagi seorang lelaki apabila dia maut akibat terkena bilah pemotong jerami jentera itu di kawasan sawah padi Kampung Sinaran Jaya, Kepala 20, Manggol Bongor, dekat sini, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 11.30 pagi, mangsa, Alif Riezman Azhar, 21, meninggal dunia di tempat kejadian akibat parah.

Majikan mangsa, Azli Che Ahmad, 40, berkata, dia mengesyaki sesuatu tidak kena apabila ternampak traktor yang dipandu arwah berhenti di tengah sawah dan menyangka ia rosak sebelum menghubungi arwah berkali-kali, tetapi tidak dijawab.

“Beberapa minit kemudian saya ternampak tubuh arwah kira-kira 12 meter dari traktor berkenaan yang dipenuhi jerami dan ketika itu dia sudah tidak bergerak,” katanya.

Menurut Azli, arwah baru semalam mula bekerja dengannya mengambil upah membersihkan kawasan sawah padi di kawasan itu selepas padi habis dituai.

Katanya, sebelum itu dia bertanya pada seorang lagi pemandu traktor kenapa jentera yang dipandu mangsa berhenti di tengah sawah dan mengesyaki ia rosak.

“Mulanya saya menyangka arwah pulang ke rumah atau pergi membeli makanan namun tidak sedap hati sebelum pergi melihat lebih dekat.

“Saya menemuinya dalam keadaan telentang namun tidak berani menyentuhnya kerana bimbang melihat kecederaan di kepala dan badan,” katanya.

Azli berkata, arwah mungkin meninggal dunia kira-kira 30 minit sebelum dia menemuinya jam 12 tengah hari.

Katanya, arwah sebelum ini pernah beberapa kali diserang sawan dan tidak menolak kemungkinan penyakit itu menyerang lagi.

“Arwah seorang yang rajin bekerja dan dia bekerja tidak menentu dengan majikan yang berlainan mengikut kerja yang ditawarkan dengan upah sekitar RM100 hingga RM150 sehari.

“Bagaimanapun, tadi dia tidak sempat menghabiskan satu petak sawah sebelum kejadian berlaku,” katanya.

Azli berkata, mangsa yang kematian ibu bapa tinggal di Kampung Kamunting, dekat sini, dan kerap bermalam di rumah rakan bergantung pada lokasi tempat kerjanya.

Katanya, dia kemudian menghubungi Balai Polis Kodiang untuk memaklumkan perkara itu sebelum membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu.

“Saya terkejut dengan apa yang berlaku kerana kali terakhir saya bertemunya malam tadi (kelmarin) dan kami sempat berbincang soal kerja dan dia kelihatan seperti biasa saja,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Superintendan Mohd Ismail Ibrahim berkata, anggota Balai Polis Kodiang menerima maklumat jam 12.30 tengah hari dari orang awam yang memaklumkan mangsa terjatuh dari traktor dan meninggal dunia di tempat kejadian.

Beliau berkata, mayat mangsa ditemui majikannya dalam keadaan telentang pada jarak 12 meter dari traktor berkenaan.

“Mayat mangsa ketika itu ditemui di bawah longgokan jerami padi,” katanya.

“Berdasarkan pemeriksaan mendapati sawah padi itu sudah dituai dan keadaan sawah kering selain terdapat jerami namun majikannya mendapati traktor itu berada di tengah sawah tanpa pemandu,” katanya.

Mohd Ismail berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Jitra untuk dibedah siasat.

Beliau berkata, setakat ini kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 10:00am
d