utama

[UPDATE] Tiga beranak didakwa bunuh Nazrin

Oleh Sarah Zulkifli

BALU serta dua anak kepada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Allahyarham Nazrin Hassan dituduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, hari ini, atas pertuduhan membunuh mangsa pada Jun tahun lalu.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada Samirah Muzaffar, 44, dan dua anak lelakinya yang berusia 13 dan 16 tahun selepas pertuduhan dibacakan secara bersama di hadapan Majistret Mohamad Ikhwan Mohd Nasir.

Ini berikutan kes berkenaan di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Samirah yang juga bekas Eksekutif Kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dan dua anaknya yang memakai pakaian seragam sekolah itu mengangguk faham dan tenang di dalam kandang tertuduh.

Turut kelihatan di galeri awam, puluhan ahli keluarga tiga beranak itu, termasuk penganalisis politik, Dr Chandra Muzaffar yang hadir dengan berkerusi roda di Kompleks Mahkamah Petaling Jaya bagi memberikan sokongan.

Mengikut pertuduhan, tiga beranak itu didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas Eka Wahyu Lestari, warga Indonesia, dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin, 46, di kediamannya di Mutiara Homes, antara 11.30 malam 13 Jun 2018 dan 4 pagi, 14 Jun 2018.

Dakwaan kes dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) yang dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati di bawah Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 menyatakan bahawa hukuman mati tidak boleh dijatuhkan ke atas pesalah kanak-kanak bawah umur 18 tahun namun mahkamah boleh menjatuhkan hukuman penjara selama mana diperkenankan Yang di-Pertuan Agong dan mengikut Seksyen 94 akta sama juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa dikenakan denda atau membayar pampasan

Pendakwaan kes diwakili Ketua Unit Perbicaraan di Jabatan Peguam Negara Datuk Jamil Aripin dan Mohd Zain Ibrahim manakala Samirah dan dua anaknya diwakili peguam L S Leonard dan Mahinderjit Singh.

Dalam prosiding itu, Mohamad Ikhwan membenarkan kes berkenaan dipindahkan ke Mahkamah Tinggi serta-merta.

Pada 14 Jun tahun lalu, Nazrin ditemui maut dalam kejadian kebakaran di bilik di rumahnya di Mutiara Homes dekat Petaling Jaya.

Bagaimanapun, siasatan mendapati bahawa Allahyarham sudah meninggal dunia terlebih dahulu selain hasil bedah siasatan mendapati terdapat kesan melecur di beberapa bahagian di bahagian tubuh serta dua kesan lubang atau kecederaan pada bahagian kiri kepala mangsa.

Susulan itu, polis menahan beberapa individu untuk soal siasat termasuk Samirah, bekas suami wanita itu dan dua anaknya.

Berita berkaitan

[UPDATE] Tiga beranak didakwa bunuh Nazrin

Isteri, dua anak tiri, akan didakwa bunuh Nazrin

Dah terima laporan bedah siasat kedua

Disiarkan pada: March 4, 2019 @ 2:50pm
d