utama

Selesai dulu tunggakan gaji

Oleh Syazwan Msar

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) mengambil keputusan yang tepat apabila tidak membenarkan Perlis untuk beraksi di Liga Malaysia selagi mereka belum menyelesaikan masalah tunggakan gaji ke atas pemain dan pegawai pasukan.

Justeru, andai skuad Singa Utara itu mahu teringin bermain - tidak kira sama ada di divisyen 3 atau 4 - pengurusan pasukan perlu memastikan tidak ada lagi isu berbangkit terutama membabitkan tunggakan gaji kerana kegagalan berbuat demikian akan menyaksikan Perlis tidak dibenarkan mendaftar pasukan.

Perkara itu disahkan Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Kevin Ramalingam yang mahu setiap pasukan menyelesaikan isu tunggakan gaji sebelum pendaftaran dibuat untuk semua divisyen.

Katanya, tindakan itu perlu dilakukan bagi mengelak timbul masalah dan akhirnya ada pihak teraniaya seperti yang terjadi kepada pemain Perlis baru-baru ini.

“Kita tahu Perlis sudah disingkirkan daripada Liga Perdana dan jika mereka mahu mendaftar, perlu selesaikan dulu isu berbangkit (tunggakan gaji).

“Pasukan berkenaan tidak akan dibenarkan mendaftar untuk mana-mana piramid liga jika isu yang terpalit itu masih lagi belum selesai,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Undian Pusingan Kedua Piala FA 2019, semalam.

Sebelum ini, MFL menyingkirkan pasukan Singa Utara itu daripada saingan liga kerana masalah gaji dan walaupun Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sudah mengemukakan rayuan, namun badan induk liga kebangsaan berkenaan tetap dengan keputusan memandangkan dokumen kewangan yang dikemukakan tidak memenuhi syarat.

Sementara itu, Kevin juga menjelaskan keputusan berkaitan geran membabitkan Perlis hanya akan diketahui 15 Mac ini selepas Ahli Lembaga Pengarah MFL mengadakan mesyuarat nanti.

“Berkaitan geran untuk pasukan, Perlis perlu menunggu keputusan daripada Ahli Lembaga Pengarah yang akan mengadakan mesyuarat nanti,” katanya.

Disiarkan pada: March 5, 2019 @ 7:30am
d