utama

Penuntut Malaysia diserang dengan tukul

Oleh Zaharah Othman

SEORANG penuntut Malaysia di Universiti Middlesex dekat London cedera di kepala dan lengan selepas diserang rakan seasrama dengan memukulnya menggunakan tukul dalam kejadian pada 28 Februari lalu.

Mangsa, Abigail Asrina Amiruddin, 23, yang mengambil jurusan animasi di universiti berkenaan menerima jahitan sepanjang lapan sentimeter di belakang kepala selain lebam di lengan selepas diserang dari arah belakang ketika meninggalkan dapur asrama terbabit.

Serangan pada 8.45 pagi itu didakwa dilakukan seorang penuntut lelaki.

Abigail yang juga satu-satunya penuntut Malaysia menetap di asrama berkenaan memaklumkan dia baru selesai sarapan dan meninggalkan dapur itu sebelum dipukul di belakang kepala hingga menyebabkannya pengsan.

Menurutnya, pada mulanya dia menyangkakan ada sesuatu terjatuh daripada siling, namun melihat lelaki terbabit berdiri di hadapannya sambil membawa tukul.

"Dia menyerang saya berulang kali dan saya menjerit meminta tolong tetapi tiada siapa yang datang membantu.

"Ketika saya menjerit, lelaki itu terkejut lalu melarikan diri dan kerana serangan itu, saya mengalami pendarahan teruk serta terpaksa merangkak ke halaman asrama sebelum ditemui dua penuntut lain yang membawa saya ke pejabat," katanya yang berasal dari Kuching, Sarawak.

Abigail memaklumkan dia kemudiannya dibawa menaiki ambulans ke Hospital St Mary di Paddington serta menjalani imbasan tomografi berkomputer (CT Scan).

Laporan polis berhubung kejadian itu sudah dibuat dan lelaki berkenaan kini berada dalam tahanan sementara menunggu untuk didakwa di mahkamah pada 29 Mac nanti.

Polis dimaklumkan oleh seorang saksi melihat penyerang itu mengelilingi asrama itu sambil membawa tukul.

Pemeriksaan lanjut turut menemui pisau pada poket seluar lelaki berkenaan.

Difahamkan, penyerang terbabit adalah warga tempatan yang suka menyendiri.

Abigail berkata, dia tidak menyangka akan menjadi sasaran serangan lelaki terbabit memandangkan hanya pernah terserempak dua kali dengannya sebelum ini di dapur.

"Apabila saya menegurnya, dia seakan membebel terhadap sesuatu. Jadi saya tidak pernah bercakap dengannya.

"Ia boleh berlaku kepada sesiapa saja, namun ia berlaku terhadap saya. Saya bernasib baik kerana masih hidup," katanya yang masih trauma dengan kejadian itu.

Ibu Abigail, Aniza Abdullah dilaporkan bergegas ke London selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Malaysia (EML) London Dr Shafie Mohamed Zabri menyuarakan kebimbangan mengenai serangan yang berlaku itu dan memberi amaran kepada penuntut supaya berhati-hati.

Menurutnya, semua penuntut perlu berdaftar dengan Jabatan Pengajian Tinggi dan perlu menghubungi pihak berkaitan sekiranya berlaku kecemasan.

Disiarkan pada: March 6, 2019 @ 11:16pm
d