utama

Pemandu wanita mabuk dijel 17 tahun [METROTV]

Oleh Abdul Rahemang Taiming

EKSEKUTIF wanita dihukum penjara 17 tahun dan denda RM39,000 oleh Mahkamah Sesyen Tawau, hari ini, selepas didapati bersalah atas dua pertuduhan memandu dalam keadaan mabuk hingga menyebabkan kematian empat lelaki di Jalan Chong Thien Vun di Tawau, tahun lalu.

Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud, menjatuhkan hukuman itu terhadap Olivia Chong Oi Yun, 35, selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir perbicaraan.

Sejurus hukuman dijatuhkan, tertuduh yang berada dalam kandang tertuduh kelihatan menitiskan air mata, manakala manakala ahli keluarganya yang hadir turut menangis.

Seramai 17 saksi pendakwaan dan dua saksi pembelaan termasuk tertuduh dipanggil memberi keterangan sepanjang prosiding membabitkan tertuduh yang kali pertama dihadapkan ke mahkamah pada 12 Julai 2018.

Tertuduh berdepan dua pertuduhan mengikut Seksyen 44 (1)(b) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu dalam keadaan mabuk sehingga menyebabkan empat kematian dan mengakibatkan kecederaan parah.

Empat yang maut dalam kemalangan itu ialah Hiew Nyuk Wei, 30; Clawence Wong Vun Kit, 21; Dicson Lim Kien Shing, 16; dan Chong Wei Chan, 21, selain seorang lagi mangsa, Chin Guan Xiong, 21, patah kaki.

Oi Yun didakwa melakukan kesalahan itu ketika memandu kereta Toyota Vios di hadapan Pusat Komersil BDC (1 Arena), Jalan Chong Thien Vun, di Tawau, pada jam 1.20 pagi, 8 Julai tahun lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh dijatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM20,000 atau enam bulan penjara jika gagal membayar denda.

Bagi pertuduhan kedua, mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan denda RM19,000 atau enam bulan penjara jika gagal menjelaskannya.

Mahkamah turut memerintahkan hukuman berjalan secara berasingan, selain lesen memandu tertuduh dibatalkan selama tempoh 10 tahun.

Awang Kerisnada ketika penghakimannya berhujah, dalam melaksanakan hukuman itu, pihaknya mengambil kira rayuan tertuduh, fakta dan dapatan di dalam perbicaraan namun yang menjadi keutamaan adalah faktor kepentingan awam.

"Tertuduh amat tidak bertanggungjawab dan disebabkan perbuatannya yang minum minuman beralkohol sehingga mabuk dan melebihi had dibenarkan oleh undang-undang.

"Kemalangan itu berlaku jam 1.20 pagi di mana pada masa itu tidak banyak kereta di jalan raya dan dalam kes ini ada lima mangsa, empat terbunuh dan seorang cedera teruk.

"Dalam menjatuhkan hukuman, mahkamah akan menjatuhkan hukuman yang mewakili kepentingan awam selain keluarga mangsa yang telah kehilangan anak dan suami disebabkan kemalangan," katanya.

Mahkamah turut menolak permohonan penangguhan hukuman penjara dikemukakan peguam tertuduh, Abdul Ghani Zelika.

Prosiding kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Muhammad Fitri Wan Azizan.

Disiarkan pada: March 7, 2019 @ 3:45pm
d