utama

Uqasha akui sukar mengacara

Oleh Syanty Octavia Amry

Mengakui pengacaraan bukanlah dunianya, namun Uqasha Senrose berjaya membawakan watak sebagai pengacara dengan baik menerusi supertelefilem berjudul Saya Jual Ye Bang.

Uqasha berkata, jika diberi peluang pengacaraan adalah bidang terakhir yang akan dipilihnya.

“Ketika menerima tawaran untuk berlakon dalam cerita ini, saya teruja kerana wataknya berbeza daripada yang pernah dibawakan.

“Namun apabila perlu menjadi seorang pengacara, saya akui ia sangat susah dan lebih susah daripada menangis,” katanya.

Menurut Uqasha, dia berasa susah kerana dia bukanlah seorang yang cepat selesa apabila berada depan kamera.

“Walaupun berlakon juga di depan kamera, situasinya berbeza apabila menjadi pengacara. Saya memang tidak ada kebolehan bercakap di depan kamera. Jadi, secara automatik saya akan kaku dan kelu malah tidak dapat bercakap dan menyusun ayat dengan baik.

“Apatah lagi ketika babak saya mengacara dilakukan di studio Astro Go Shop dan terdapat lima kamera di situ dan perlu bijak bermain dengan kamera.

“Ia sangat susah dan itulah cabaran yang perlu saya lakukan selama menjalani penggambaran cerita ini,” katanya.

Selain itu, dia juga turut mengubah bentuk fizikal menjadi seorang wanita yang berisi.

“Untuk cerita ini saya mahu tampil berlainan di samping mahu mencuba sesuatu yang baru. Menjadi seorang wanita dengan tubuh berisi dan berambut pendek, saya gembira kelainan itu berjaya membuat orang tertanya-tanya,” katanya.

Mengulas gandingannya bersama Zizan Razak dalam cerita berkenaan, Uqasha berkata, dia tiada sebarang masalah walaupun ini adalah gandingan pertama mereka.

Ini kerana Zizan seorang yang mudah dibawa berbincang dan menyenangkan.

“Zizan banyak membantu dan saya selesa bekerja dengannya. Saya tidak ada masalah jika kami digandingkan lagi pada masa akan datang,” katanya.

Selain Uqasha dan Zizan, Saya Jual Ye Bang turut menampilkan lakonan Nadiyah Sahab, Datuk AC Mizal, Idris Khan, Vicha, Bell Ngasri dan Ray JoHaRa.

Dalam perkembangan lain, Uqasha sedang sibuk menjalani penggambaran drama bersiri 28 episod berjudul Setelah Terlafaznya Akad bersama Kamal Adli.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 6:00am
d