utama

Angkara lori tangki

Oleh Mohd Sabran Md Sani

ADA saksi mendakwa ternampak lori tangki berhampiran jambatan di tepi Sungai Kim Kim menyalurkan sesuatu menggunakan hos ke dalam air.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor Datuk Yahaya Madis berkata, kejadian didakwa dilakukan sekitar jam 2 pagi semalam.

“Berdasarkan laporan, kawasan tercemar membabitkan lingkungan jarak 500 meter daripada sungai sepanjang 1.5 kilometer yang mengalir ke Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih di sini.

Menurutnya, anggota Balai Bomba Pasir Gudang dan Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Johor sebelum itu dihantar ke sungai berkenaan susulan laporan pencemaran kimia jam 5.15 pagi semalam.

Katanya, maklumat diterima membabitkan bau disyaki gas kimia metana dari kawasan Sungai Kim Kim di sini.

“Hasil pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan bahan kimia dan gas jenis metana (UN 1971) di sungai itu,” katanya di lokasi kejadian.

Menurutnya, pencemaran itu bagaimanapun menyebabkan warga dua sekolah berhampiran mengalami tanda keracunan sekitar jam 9 pagi semalam.

Yahaya berkata, tindakan pengosongan kawasan dilakukan dalam jarak 500 meter membabitkan 1,400 murid dan pelajar SMK Taman Pasir Putih dan SK Taman Pasir Putih.

“Pihak bomba menggunakan peralatan menyerap minyak bagi mengelakkan bahan kimia menghasilkan gas metana di sungai itu merebak ke kawasan sekitar.

“Sehingga kini, Pasukan Khas Pengurusan Bahan Berbahaya (HAZMAT) sudah mengambil tiga sampel termasuk air dan tanah untuk dikaji kandungannya,” katanya.

Beliau berkata, 30 pegawai dan anggota bomba ditugaskan di lokasi termasuk dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tebrau, Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS), HAZMAT Melaka dan bahagian forensik.

Disiarkan pada: March 8, 2019 @ 8:01am
d