utama

Tasha fokus ketenangan hidup

Oleh Georgie Joseph

PUAS terpalit dengan pelbagai kisah panas sebelum ini, pelakon Tasha Shilla berazam mahu bebas kontroversi dan kini lebih pentingkan ketenangan hidup.

Ternyata, pengalaman lalu banyak memberi pengajaran buat pelakon berusia 32 tahun ini selain mematangkan dirinya dalam pelbagai aspek.

Menurut Tasha, saban hari dia berusaha menjadi insan lebih baik dan segala kisah lama dijadikan teladan.

“Kisah lalu sudah semestinya banyak beri pengajaran kepada saya. Kini, misi saya adalah untuk kurangkan kontroversi dan tingkatkan prestasi. Itulah yang saya mahu fokus.

“Biarlah orang nampak bakat lakonan berbanding kisah panas. Walaupun jarang muncul di kaca TV, saya masih ada kerja cuma kurang berbanding dulu kerana kini ada ramai pelakon baru,” katanya.

Tasha juga mengakui melalui fasa yang jauh lebih tenang berbanding sebelum ini. Malah, banyak perkara baru diterokainya apabila memilih untuk memberi ruang kepada diri sendiri.

“Saya selesa dengan keadaan sekarang, rasa lebih tenang dan bahagia. Pendek kata bertepatan dengan keadaan yang saya inginkan sekarang.

“Seiring kematangan, saya rasa perlu untuk lebih fokus kepada diri sendiri. Tak boleh fikir puaskan hati orang lain saja kerana diri sendiri kena jaga.

“Walaupun bergelar selebriti, saya kena sorok hal peribadi. Saya mahu ruang untuk jadi orang biasa dan bukannya disirami cahaya glamor sepanjang masa,” katanya.

Antara kontroversi yang kerap diperkatakan mengenainya sebelum ini adalah percintaan dengan beberapa lelaki.

Mengambil teladan daripada pengalaman itu, Tasha berharap ditemukan dengan insan yang mencintainya kerana Allah.

“Jika sebelum ini saya sangat terbuka bercerita mengenai hubungan cinta, sekarang tidak lagi. Kalau ada berita baik, insya-Allah akan bagi kad jemputan kepada semua.

“Saya akui berkawan dengan seseorang tapi belum berharap sampai berkahwin. Kalau ada jodoh, terus saja kahwin.

Tegas Tasha, dia tidak lagi memikirkan soal cinta sebagaimana dilakukannya sebelum ini.

“Sekarang saya tidak lagi mengharapkan perhatian kekasih. Kalau dulu selalu fikir begitu tetapi sebenarnya ia menyakitkan.

“Selepas ini, saya mahu sayang seseorang kerana Allah. Kalau dia nak sayangkan saya pun, biarlah kerana Allah juga.

“Kalau bagi sepenuh hati dan jiwa kepada seseorang pun, hidup kita boleh rosak. Itu yang saya belajar,” katanya.

Kemurungan semakin terkawal

Menyedari dirinya mengalami kemurungan beberapa tahun lalu, Tasha berjumpa pakar untuk mendapatkan rawatan pada penghujung 2018.

Sejak itu, hidupnya mengalami perubahan positif dan lebih membahagiakan.

“Selepas bertemu pakar, saya dapat kawal diri dengan baik. Syukur, hidup saya sekarang jauh lebih positif dan aktif melakukan aktiviti riadah termasuk mendaki bukit,” katanya.

Disebabkan kemurungan, Tasha mendedahkan dia ada dihantui bayangan dan mendengar ‘suara’ namun tidak sampai tahap mahu melakukan sesuatu yang membahayakan diri.

“Tidak sampai tahap mahu bunuh diri namun memang ada bayangan dan dengar suara meminta agar saya tidak perlu hidup lagi. Mujur kita masih berpegang pada agama.

“Bagaimanapun, kita kena usaha dapatkan rawatan agar dapat keluar daripada keadaan itu,” katanya.

Menurut Tasha, dia kini terbuka berkongsi mengenai masalah kemurungan di media sosial dengan harapan dapat menyuntik kesedaran kepada orang ramai betapa pentingnya menjaga kesihatan mental.

“Sebenarnya, saya malu apabila pakar minta saya berbuat demikian memandangkan saya selebriti. Ketika itu saya takut jika orang tidak faham.

“Apabila mula berkongsi, ramai peminat dari Brunei, Sabah, dan Sarawak datang berjumpa pakar terbabit. Saya gembira dapat kongsi pengalaman dan memberi sokongan kepada mereka yang mengalami kemurungan.

“Kesedaran mengenai kesihatan mental ini sangat penting,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 5:30am
d