utama

Kesabaran terbalas

Oleh Ardini Sophia Sina

BUKAN setahun dua Baby Shima berusaha mencari ruang untuk bertapak sebagai penyanyi. Dia memulakan kembara seni pada 2010 apabila memenangi pertandingan Bintang Idola Berita Harian.

Pernah bernaung di bawah KRU Music Group, Shima tampil dengan lagu Tak Sabar pada 2012. Bagaimanapun, entah di mana silapnya, wanita itu mengalami kesukaran untuk melonjakkan namanya di persada seni suara.

Merasai kesukaran membina nama ditambah pula kurangnya tawaran persembahan menyebabkan Shima pulang ke kampung halaman dan ‘hilang’ selama dua tahun. Terus terang, ada rasa kecewa dan putus asa bersarang di tangkai hatinya.

Bagaimanapun, rezeki tidak akan pernah salah alamat. Buktinya, kesabaran Shima kini dibayar apabila dia dilamar Nagaswara, sebuah syarikat rakaman besar di Indonesia.

“Dari 2015 hingga 2016, saya menyepi kerana rasa susah untuk bina nama. Tawaran pun kurang. Kalau ada jemputan persembahan pun cuma kecil-kecil saja.

“Ketika itu, saya selalu nyanyi di Smule. Duet bersama Khai Bahar membawakan lagu Gurauan Berkasih menerusi aplikasi berkenaan tiba-tiba jadi viral.

“Disebabkan video Smule itulah Nagaswara nampak dan menghubungi saya. Mereka tawarkan peluang bernaung di bawah mereka. Awalnya, saya ragu-ragu tetapi selepas dipujuk dan diberikan kata semangat, akhirnya saya setuju,” katanya.

Perjalanan karier Shima semakin berseri apabila dijemput menyertai pertandingan D’Academy Asia musim ketiga (DAA3) pada 2017. Walaupun tidak bertahan lama, ia cukup membuka ruang besar buatnya untuk bertapak di Indonesia.

Namun, apa yang paling diingati umum sehingga kini adalah insiden Mas Idayu memarahinya. Shima mungkin tetap tersenyum manis ketika itu tetapi jauh di sudut hati, dia malu.

Mengimbas kembali peristiwa itu, Shima percaya ada hikmah dan kebaikan yang akan diperolehinya. Oleh itu, karier yang berkembang baik di negara seberang itu mengubat segala kekecewaan dan ‘luka’ pernah dialaminya.

“Masa itu rasa malu sangat sampaikan seharian saya langsung tidak pegang telefon bimbit. Walaupun pedih, ada hikmah di sebalik apa yang terjadi.

“Saya bersyukur perjalanan seni semakin baik. Bersama Nagaswara saya sudah ada lima lagu. Malahan, jemputan persembahan juga banyak. Alhamdulillah, jadual memang sangat padat,” katanya.

Mempunyai lima single untuk pasaran Indonesia, Shima bagaimanapun belum terfikir untuk menghasilkan single buat peminat di Malaysia. Namun, Shima tidak menolak andai ada yang ingin berkolaborasi dengannya.

Bukannya tidak mahu tetapi aktiviti seni yang padat di negara jiran membataskan perjalanan untuk berulang-alik. Tambahan pula, Nagaswara sudah menyusun perancangan menerbitkan lima single setahun.

Diterima baik penggemar muzik dangdut di Indonesia, Shima turut mencatat sejarah buat dirinya apabila memenangi kategori Pendatang Baru Dangdut Terpopular Anugerah Dangdut Indonesia 2017.

“Saya bersyukur kerana diterima baik di sana. Tidak sangka mereka memberikan sokongan dan menyambut baik kehadiran saya walaupun orang luar.

“Tambahan pula saya membawakan lagu genre dangdut. Ia memudahkan saya untuk mendekati masyarakat di sana. Saya sendiri pun lebih suka menyanyikan lagu dangdut.

“Saya seronok bawa lagu sebegitu kerana meriah atas pentas. Mudah mengajak penonton untuk turut sama berhibur dan mereka juga akan teruja dengan persembahan,” katanya.

Hampir setiap hari ada saja persembahan yang Shima perlu jayakan. Jadual padat itu ada kalanya membuatkan dia letih. Malahan, dia juga pernah pengsan ketika menyertai Big Stage gara-gara penat selepas 14 jam perjalananan.

Bagaimanapun, demi kerjaya yang menjadi impiannya, dia ketepikan perasaan itu dan berusaha memberikan yang terbaik. Shima ingin mengecapi kejayaan sama seperti orang lain.

“Enam tahun saya tunggu dan apabila peluang ini datang, saya perlu gunakan sebaik mungkin. Memang letih dan ada ketikanya sakit tetapi ia berbaloi,” katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 6:00am
d