utama

Mohon sah nikah 20 tahun lalu

Oleh BERNAMA

HATYAI: Pejabat Konsul Malaysia di Songkhla, Thailand merekodkan peningkatan permohonan rakyat Malaysia mendapatkan surat pengesahan pernikahan di selatan Thailand sejak 2011.

Konsul Jeneralnya, Mohd Afandi Abu Bakar berkata, 4,653 permohonan surat pengesahan pernikahan diterima tahun lalu berbanding 4,375 pada 2017.

Menurutnya, pejabat itu menerima 2,885 permohonan pada 2011, 3,463 (2012), diikuti 3,485 (2013), 3,831 (2014), 4,081 (2015) dan 4,178 (2016).

Beliau ditemui pada program Persatuan Penunggang Motosikal Berkuasa Tinggi Malaysia-Thailand (MalTha Riders Association) di sini, semalam.

Mohd Afandi berkata, majoriti permohonan melibatkan pasangan yang berkahwin dua atau tiga tahun dan diajukan mungkin keperluan mendaftarkan anak.

Kebanyakan permohonan itu, kata beliau, melibatkan perkahwinan sesama rakyat Malaysia di pejabat agama Islam di selatan Thailand.

“Permohonan surat pengesahan pernikahan itu turut diterima daripada mereka yang berkahwin selama 20 tahun,” katanya.

Beliau menasihati rakyat Malaysia tidak menggunakan ejen dalam urusan pernikahan.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 8:00am
d