utama

Azhar Sulaiman cemas sekejap

Oleh Najiy Jefri

PELAKON Azhar Sulaiman berdepan situasi cemas apabila anak lelakinya, Andika Rees Pahamin, 16, cedera selepas dirempuh dari belakang ketika bermain hoki ais dalam kejohanan Ice Hockey Challenge, Cup Of Asia 2019 di Empire Damansara, di sini, baru-baru ini.

Azhar berkata, dia panik apabila Rees yang mewakili pasukan hoki ais bawah 20 tahun kebangsaan itu tidak boleh bangun selepas dirempuh dari belakang dalam perlawanan menentang Singapura itu.

“Ketika menerima panggilan telefon daripada ibu mentua, macam-macam perkara bermain di fikiran saya kerana risiko kecederaan dalam sukan hoki ais adalah tinggi.

“Saya makin bimbang apabila dimaklumkan Rees tidak boleh bangun selepas dirempuh dan mengadu lehernya sakit dan berasa kebas,” katanya.

Azhar berkata, Rees kemudian dibawa ke Pusat Rawatan Universiti Malaya (PPUM) untuk rawatan lanjut.

Hasil pemeriksaan kemudian mendapati kecederaannya tidak serius.

“Hasil ujian x-ray mendapati tiada keretakan di lehernya, cuma dia mengalami kecederaan kecil di bahagian kulit," katanya.

Azhar berkata, dia berterima kasih kepada beberapa keluarga yang datang menghulurkan bantuan kepada anaknya itu.

“Alhamdulillah Rees kini berehat di rumah. Saya bersyukur tiada kejadian tidak diingini berlaku, cuma saya nasihatkan dia supaya lebih berhati-hati selepas ini," katanya.

Disiarkan pada: March 11, 2019 @ 12:43pm
d