utama

Ernie yakin bersama Syamel

Oleh Najiy Jefri

SEMPENA sambutan Minggu Setiausaha April ini, penyanyi terkenal Syamel dan Ernie Zakri bakal menghiburkan setiausaha dengan tema Klasik & Elegan.

Majlis yang dikenali ‘An Afternoon Of Elegance With Syamel & Ernie Zakri - When Heart Needs A Beat’ itu bakal berlangsung pada 24 April ini di Hotel Marriott Putrajaya bermula jam 12 tengah hari.

Ernie berkata, dia lega apabila persembahan pertamanya sempena Minggu Setiausaha bakal digandingkan dengan rakan duetnya, Syamel.

Kata Ernie, dia selesa tatkala bersama Syamel kerana menganggap pelantun lagu Kau Pun Sama itu sebagai pelengkap untuknya tampil lebih yakin.

“Saya dan Syamel sudah lama mengimpikan untuk terbabit dalam Minggu Setiausaha kerana acara ini sangat istimewa setiap tahun.

“Bukan calang-calang artis yang berpeluang menyanyi pada minggu setiausaha ini, tak sangka kami dipilih.

“Saya bersetuju pun sebab dimaklumkan ada Syamel. Kalau tidak, memang kecut perut juga.

“Setiap kali berkongsi pentas dengan Syamel saya tiada sebarang masalah kerana selesa dengannya. Malah, dia boleh diibaratkan sebagai pelengkap untuk saya tampil lebih yakin,” katanya.

Bagi Syamel pula, gandingannya dengan Ernie saling melengkapi dan dia selesa apabila berkongsi pentas yang sama.

“Kami sering mendapat undangan menyanyi bersama tapi kadangkala tidak semua persembahan dapat kami jayakan.

“Lagipun, saya dan Ernie penyanyi solo. Jadi, banyak menerima undangan nyanyian solo.

“Bagaimanapun, untuk minggu setiausaha ini kami diberi peluang menghiburkan tetamu dalam kalangan setiausaha. Ia satu pengalaman baru.

“Insya-Allah banyak kejutan yang bakal kami buat nanti dan pasti akan ada kelainan yang tidak pernah anda saksikan,” katanya.

Kata Syamel, dia bersetuju menjayakan Minggu Setiausaha itu kerana sebahagian jualan tiket akan disalurkan kepada golongan memerlukan.

“Sebahagian jualan meja acara itu akan disalurkan kepada Yayasan Afdlin Shauki untuk mengisi Tabung Misi Bantuan Kemanusiaan Syria.

“Apabila pihak penganjur memaklumkan mengenai perkara ini saya tidak menunggu masa yang lama untuk membuat keputusan.

“Ini satu inisiatif yang baik dan saya mahu turut membantu. Selain dapat menghiburkan orang, kita juga dapat membantu golongan memerlukan,” katanya.

Menurut Pengarah Urusan Nafis Global Resources Sdn Bhd, Lidya Ismail selaku penganjur berkata, kehebatan vokal Syamel dan Ernie Zakri menjadi ukuran utama pihaknya memilih dua figura berbakat besar itu.

“Selain faktor populariti, pemilihan gandingan duo ini dibuat berdasarkan perjalanan seni mereka yang dilihat sebagai pasangan duet generasi baru yang cukup serasi dan sering mengagumkan peminat.

“Malah, mereka juga mempunyai aura tersendiri selain memiliki jumlah peminat yang ramai, terutama di media sosial,” katanya.

Jelasnya, Syamel dan Ernie Zakri akan menyampaikan 12 lagu dalam persembahan berdurasi selama tiga jam.

“Kesungguhan dan komitmen yang diberikan kedua-duanya bagi menjayakan penganjuran acara ini juga perlu diberi pujian dan amat kami hargai,” katanya.

Tiket untuk menyaksikan persembahan dijual pada harga RM3,500, RM5,000, RM7,000 dan RM10,000 (VIP) untuk sebuah meja yang memuatkan 10 tetamu dengan dilengkapi hidangan set makanan tengah hari serta cenderamata istimewa.

Tiket boleh dibeli secara individu atau kumpulan menerusi tempahan meja dengan menghubungi talian 018-2993868.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 4:30am
d