utama

Alhamdulillah, kerongsang dah keluar... [METROTV]

Oleh Helmy Abd Rahman

“TERNYATA doa warganet amat mustajab sehingga kerongsang itu bukan sahaja dapat keluar, malah pinnya tertutup dan tidak mencederakan anak saya.

“Saya bersyukur sangat tambahan pula kerongsang itu keluar sebaik sahaja azan Asar berkumandang hari ini,” kata Noor Amira Shyuhada Mohd Noh, 33, ketika ditemui di Wad Kanak-kanak Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), Kuala Terengganu, hari ini.

Noor Amira Shyuhada adalah ibu kepada bayi berusia sembilan bulan, Nur Qhaulah Ramadhani Mohd Kamal Azhar yang tertelan kerongsang dalam kejadian di Ajil, Hulu Terengganu, 9.30 malam tadi.

Kejadian itu tular di laman sosial selepas Noor Amira Shyuhada memuat naik hantaran meminta warganet mendoakan keselamatan anaknya di Facebook, malam tadi.

Menurut ibu kepada tiga anak itu, dia amat bersyukur kerana ramai memberi sokongan ketika dia tertekan berikutan kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, dia agak kesal kerana ada beberapa individu mengecam dan menuduhnya tidak tahu menjaga anak.

“Ketika baca komen segelintir warganet yang mengutuk dan mengecam, saya amat tertekan apatah lagi masa itu kerongsang masih berada dalam badan anak saya.

“Padahal, saya buat ‘posting’ (hantaran) di Facebook untuk minta orang ramai doakan keselamatan anak saya sahaja.

“Hanya kata-kata suami (Mohd Kamal Azhar Khalid, 36) yang menasihatkan saya supaya tidak mempedulikan kutukan itu berjaya kembali menguatkan semangat saya.

“Alhamdulillah, tidak lama kemudian, kerongsang yang berada di dalam badan anak keluar sendiri melalui najisnya,” katanya.

Menceritakan insiden itu, Noor Amira Shyuhada berkata, kejadian berlaku ketika anak bongsunya itu berada di atas ribaan anak sulungnya, Nur Damia Darwisya, 11.

“Ketika itu saya sedang memandu dari rumah ibu di Felda Bukit Bading ke rumah di Ajil, jadi tak perasan apa yang dia tengah buat, lebih-lebih lagi keadaan gelap.

“Kebetulan pula kerongsang itu berada di celah pintu bahagian penumpang di dalam kereta.

“Tak tahu macam mana dia boleh capai kerongsang itu dan masukkan ke dalam mulut.

“Saya segera memberhentikan kereta dan memeriksa mulutnya dan menghulurkan jari untuk mendapati kerongsang itu, tetapi tidak berjaya,” katanya.

Menurutnya, tanpa berlengah dia terus ke Hospital Hulu Terengganu dan selepas diperiksa dan di X-Ray, anaknya dihantar pula ke HSNZ untuk menerima rawatan lanjut.

Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 7:25pm
d