utama

13 sekolah ditutup esok

Oleh Mohd Sabran Md Sani

TIDAK mahu memperjudikan nyawa lebih 10,000 pelajar, kerajaan negeri Johor memutuskan 13 sekolah terjejas akibat pembuangan sisa toksik di Sungai Kim Kim, Pasir Gudang, ditutup sementara bermula esok hingga keadaan selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Alam Sekitar dan Pertanian Johor, Dr Sahruddin Jamal berkata, keputusan itu dibuat menerusi persetujuan dicapai Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

“Mesyuarat bersetuju supaya Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Johor dan Jabatan Pendidikan Agama Negeri Johor menutup 13 sekolah sehingga tarikh ditetapkan.

“Sekolah akan ditutup mulai 13 Mac 2019 (esok) adalah Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Pasir Putih, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Pasir Putih, SK Pasir Putih, SK Tanjung Puteri Resort, SMK Tanjung Puteri Resort, SK Kota Masai 2, SMK Kota Masai 2 dan SK Kota Masai 3.

“Turut ditutup SMK Kota Masai, SK Kota Masai, SK Perigi Acheh, Sekolah Agama Kampung Pasir Putih dan Sekolah Agama Taman Pasir Putih," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Sahruddin berkata, kerajaan negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri mengaktifkan Jawatankuasa Kerja bagi menangani kejadian pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim.

Beliau berkata, tujuan pengaktifan jawatankuasa kerja itu adalah untuk menyelaras dan memantau kejadian tumpahan bahan kimia terbabit.

“Mesyuarat Pengaktifan Jawatankuasa Kerja bersetuju melantik kontraktor dilesenkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) untuk melaksanakan kerja pembersihan Sungai Kim Kim sepanjang 1.5 kilometer yang akan diselaraskan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan JAS negeri.

“Orang ramai dinasihatkan supaya tidak memasuki kawasan lokasi kerja pembersihan yang akan dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri menekankan supaya orang ramai mengikut saranan Jabatan Kesihatan Negeri supaya mendapatkan rawatan segera sekiranya mempunyai gejala pedih mata, sakit dada dan sesak nafas dan disyaki terhidu dan terdedah kepada bahan kimia terbabit.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan menggunakan air terawat untuk aktiviti harian, kerap mandi dan pakaian yang digunakan hendaklah dibasuh berasingan setiap kali keluar dari rumah bagi mengelakkan kemungkinan sisa toksik terkena anggota badan.

"Orang ramai diingatkan untuk mengelakkan daripada memasuki dan berada di kawasan kejadian terbabit dan dinasihatkan mengelak melakukan sebarang aktiviti termasuk beriadah berdekatan kawasan Sungai Kim Kim, Pasir Gudang.

“Orang ramai diingatkan mengikuti maklumat terkini kejadian ini daripada sumber maklumat sahih dan mematuhi arahan pihak berkuasa," katanya.

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 12, 2019 @ 9:14pm
    d