utama

Amyra rasai tekanan

Sudirman Mohd Tahir

PEMINAT setia drama Nur pasti tidak sabar menantikan kesinambungan drama itu, Nur 2 yang bakal ditayangkan di slot Samarida TV3 tidak lama lagi.

Masih mengekalkan Amyra Rosli, 28, sebagai Nur selaku pelakon utama, namun sedikit perubahan dari segi watak memberikannya sedikit tekanan.

Menurut Amyra, tekanan dirasai bukan membabitkan penggambaran itu tetapi daripada watak lain yang memaksa watak Nur berubah.

“Dalam Nur dulu, saya lebih bersahaja tetapi untuk Nur 2, wataknya berubah. Ditambah pula terdapat beberapa watak yang memang kuat lakonan Noorkhiriah dan Azhan Rani, jadi Nur kena lawan. Pendek kata, Nur tidak lagi ‘play safe’ tapi cuba tegakkan apa yang patut dia dapat.

“Kali ini saya agak tertekan kerana ada babak sedih, tetapi tidak boleh mengalirkan air mata. Pengarah suruh tahan dan saya kena pandai kawal emosi. Bagi saya, ini cabaran,” katanya.

Pada masa sama, Amyra perlu melawan sakit iaitu demam bagi menjayakan watak itu hingga ke penghujung penggambaran yang dijangka tamat pada 12 April ini.

“Sekarang saya demam dan suara sengau. Mungkin faktor cuaca dan tidak cukup rehat. Hampir setiap hari pulang lewat sekitar 12 tengah malam atau 1 pagi. Setiap hari pula ada babak membabitkan saya.

“Ada babak pergaduhan yang memerlukan kami terjun ke dalam kolam dan ia mengambil masa empat hari. Dalam Nur 2 memang banyak babak mencabar apatah lagi apabila ramai yang sakit,” katanya.

Amyra yang juga ibu kepada seorang cahaya mata berkata, kesibukan di lokasi tidak menghalang tugas hakiki sebagai isteri dan ibu.

Menurut Amyra, pulang saja dari lokasi penggambaran dia perlu menidurkan anaknya, Aqeef Anaqi yang kini berusia setahun lima bulan.

“Memandangkan sekarang saya dan suami kerja, jadi anak dijaga oleh emak. Tapi, biasalah dia tetap mahu dengan emak sendiri. Kebiasaannya Anaqi tidak akan tidur jika saya tidak ada di sebelahnya.

“Dia sanggup berjaga dan tunggu saya pulang. Dia sudah terbiasa dan saya pun okey saja asalkan dia tidak meragam,” katanya.

Bagaimanapun, situasi itu bukan alasan buat Amyra meletakkan syarat tertentu kepada pihak produksi seperti menetapkan had waktu bekerja.

“Saya tidak mahu menyusahkan orang. Saya juga bukan dikenali sebagai pelakon yang ‘demand’ banyak perkara. Selagi tidak mengganggu dan mendatangkan masalah, saya redah saja. Tidak kisah balik lambat, asalkan kerja siap. Lagi padat jadual, lagi saya suka. Ia lebih menyeronokkan.

“Suami juga tak ada masalah. Dia pun pelakon, jadi dia faham. Sekarang dia pun sibuk dengan penggambaran drama 100 episod,” katanya.

Tak mahu anak turut berlakon

Tidak mahu dituduh mementingkan diri dan mengambil kesempatan atas nama anaknya, Amyra dan suami, Amar Baharin mengambil keputusan tidak membiarkan Anaqi turut terbabit dalam penggambaran drama atau komersial yang membabitkan mereka.

“Alhamdulillah, sejak dapat anak rezeki tak putus. Ramai yang mahu menggunakan kami anak beranak dalam iklan komersial.

“Tetapi jika nak biarkan Anaqi seorang saja terbabit, ia belum waktunya. Dia masih kecil dan susah nak dekat orang lain.

“Baru-baru ini ada produksi mahu menjadikan Anaqi sebagai anak kepada seorang pelakon dalam satu drama. Saya tidak benarkan sebab dia mesti akan menangis. Daripada menyusahkan orang, baik tak perlu,” katanya.

Kurus bukan sebab sakit

Melihatkan penampilannya yang kurus, Amyra menafikan dia tidak sihat, tetapi kerana mengamalkan pengambilan Jus Fit iaitu produk keluarannya sendiri.

“Sebelum mengandung dan selepas bersalin, berat saya 45 kilogram (kg). Itu paling ringan pernah saya dapat. Tetapi, apabila amalkan produk sendiri, hasilnya jauh lebih mengejutkan hingga mencecah 42kg.

“Saya perlu amalkan sebab kena beritahu orang ramai keberkesanan produk ini. Pada masa sama, saya pula sukakan detox.

“Ramai cakap saya kurus sebab sakit, tapi tidak. Mungkin faktor bekerja turut mempengaruhi. Bagaimanapun, alhamdulillah saya sihat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Amyra bakal terbabit dalam satu lagi drama untuk siaran TV3.

Selain itu, Amyra juga akan bercuti sepanjang Ramadan hingga Aidilfitri nanti.

“Saya nak habiskan semua kerja sebelum Ramadan. Kalau ada pun nanti bukan yang membabitkan komitmen lama.

“Kalau setakat menghadiri jemputan majlis dan menjayakan program, saya okey saja. Insya-Allah, selepas Aidilfitri baru sibuk balik,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 5:30am
d