utama

'Saya tidak buat'

Oleh Sarah Zulkifli

SHAH ALAM: “Saya tidak bersalah...saya tidak buat.” Itu kata balu kepada Ketua Pegawai Eksekutif Cradle Fund Sdn Bhd, Allahyarham Nazrin Hassan, Samirah Muzaffar, 44, selepas tuduhan membunuh suaminya itu dibacakan pertama kali di Mahkamah Tinggi di sini, semalam.

Samirah, bekas eksekutif kanan di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang memakai baju hitam dan tudung kelabu membuat pengakuan itu dan meminta dibicarakan di hadapan Hakim Datuk Ab Karim Ab Rahman.

Turut menghadapi tuduhan sama, dua remaja lelaki masing-masing berusia 13 dan 16 tahun yang berada di luar kandang tertuduh juga berkata ‘tidak bersalah.’

Ahli keluarga Samirah dan dua remaja itu termasuk bapa tertuduh yang juga penganalisis politik terkenal, Dr Chandra Muzaffar yang berkerusi roda juga kelihatan di galeri awam.

Mengikut kertas pertuduhan, tiga individu itu didakwa bersama-sama dengan seorang lagi yang masih bebas, Eka Wahyu Lestari, warga Indonesia dengan niat bersama melakukan pembunuhan dengan menyebabkan kematian Nazrin di kediamannya di Mutiara Homes di sini, antara jam 11.30 malam, 13 Jun 2018 dan jam 4 pagi, 14 Jun 2018.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tertuduh di bawah usia 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati mengikut Seksyen 97(1), Akta Kanak-Kanak 2001, namun boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong atau Sultan di mana kesalahan itu dilakukan.

Manakala mengikut Seksyen 94 akta sama, mahkamah juga mempunyai kuasa untuk memerintahkan supaya ibu bapa tertuduh dikenakan denda atau membayar pampasan.

Pendakwaan dikendalikan Ketua Unit Perbicaraan, Jabatan Peguam Negara, Datuk Jamil Aripin dibantu Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Zain Ibrahim manakala Samirah diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah, Tania Scivetti, Muhamad Farhan Muhammad Shafee dan Rahmat Hazlan manakala dua remaja itu diwakili Hisyam Teh Poh Teik, LS Leonard dan Salim Bashir.

Terdahulu, Mohd Zain berkata, seramai 75 saksi sudah dirakam percakapan berhubung kes bunuh itu, namun pihaknya tidak pasti bilangan mereka yang akan dipanggil menjadi saksi pendakwaan.

“Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan dan kami membantah sekiranya ada jaminan.

“Kami pohon tarikh pengurusan kes pada masa akan datang ditetapkan dalam tempoh dua bulan kerana ada dokumen yang masih belum lengkap,” katanya.

Bagaimanapun, Muhammad Shafee memohon satu bulan untuk pengurusan kes atas alasan pendakwaan mempunyai masa yang cukup untuk memberikan dokumen kes itu kepada pihak pembelaan.

“Saya juga akan membuat permohonan jaminan berbentuk afidavit bagi Samirah,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Shafee berkata, beliau dimaklumkan bahawa Samirah diasingkan dan diletakkan di dalam bilik gelap di Penjara Kajang dan memohon tindakan diambil berhubung kejadian itu.

Mohd Zain kemudian berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada pihak penjara berhubung perkara itu dan memberikan hak yang sepatutnya kepada tertuduh.

Sementara itu, Hisyam yang mewakili dua remaja lelaki itu memberitahu mahkamah bahawa pihaknya akan menghantar permohonan jamin bagi dua anak guamnya itu.

“Saya dimaklumkan remaja berusia 16 tahun yang ditempatkan di Sentul diserang secara fizikal dan seksual dan kami mohon dia ditempatkan di Shah Alam,” katanya.

Pendedahan Hisyam itu menyebabkan ahli keluarga dan rakan tertuduh dua remaja itu yang berada di galeri awam turut terkejut dan menangis.

Ab Karim kemudian memberitahu pihak pembelaan supaya membuat permohonan secara rasmi berhubung hal berkenaan.

“Saya tidak dapat membuat keputusan pada hari ini berikutan hal ini dan berdasarkan aduan sahaja, justeru, pihak pembelaan perlu membuat permohonan rasmi,” katanya.

Disiarkan pada: March 13, 2019 @ 8:01am
d