utama

Suriani cekal cari rezeki

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

PASIR PUTEH: Bukan sekadar suri dalam keluarganya, bahkan Noor Suriani Kadir adalah tunjang yang memastikan mereka lima beranak dapat meneruskan kelangsungan hidup.

Sejak enam tahun lalu, wanita berusia 38 tahun itu menjual kuih di sekitar kampung dengan harapan dapat menjana pendapatan buat keluarga selepas suaminya, Mohd Zulkifli Wahab, 44, terlantar sakit.

Dia menjadi ketua keluarga yang mengambil alih tugas Mohd Zulkifli, penghidap penyakit buah pinggang dan kanser, malah tegar menunggang motosikal sejauh 30 kilometer (km) untuk membawa lelaki itu ke Hospital Tengku Anis (HTA).

Katanya, rutinnya akan bermula seawal jam 3 pagi setiap hari untuk menjual kuih dan tiga kali seminggu akan membawa suaminya ke HTA untuk rawatan.

“Saya menyara keluarga sendirian termasuk membesarkan tiga anak bersekolah berusia enam hingga 14 tahun. Jual kuih sahajalah untuk dihantar di gerai makan sekitar kampung.

“Setiap hari dapatlah antara RM30 hingga RM40 sehari jika semua kuih terjual tetapi ada harinya pendapatan ‘putus’ disebabkan menjaga suami atau anak sulung yang juga orang kurang upaya (OKU).

“(Anak) Muhamad Zahid mengalami demam panas ketika kecil menyebabkan dia tidak dapat bercakap dan hanya mengengsot untuk bergerak,” katanya ketika ditemui, semalam.

Noor Suriani berkata, suaminya bekerja sebagai tukang kebun sekolah sebelum ini tetapi berhenti disebabkan penyakit ditanggung.

Katanya, motosikal sahaja yang mereka ada untuk bergerak dan ada ketikanya dia akan meminta bantuan saudara atau ketua kampung untuk menghantar Mohd Zulkifli ke hospital jika hujan atau motosikalnya rosak.

“Saya tak kisah bangun awal pagi untuk membuat kuih atau terpaksa menahan lapar asalkan anak-anak dan suami saya sihat dan tidak kelaparan. Selagi kudrat masih ada saya akan menjaga mereka dengan sebaik-baiknya,” katanya.

Menurutnya, anak sulungnya menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350, namun masih tidak mencukupi disebabkan Muhamad Zahid perlu memakai lampin pakai buang.

Sesiapa yang ingin membantu keluarga ini boleh menghulurkan sumbangan ke nombor akaun 03063020224428 (Bank Islam) milik Noor Suriani Kadir.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 7:30am
d