utama

Awi Rafael, Atikah Suhaime tak jadi kahwin

Oleh Syanty Octavia Amry

PENYANYI Singapura, Awi Rafael yang sepatutnya melangsungkan perkahwinan dengan pelakon Atikah Suhaime, Ahad ini di Singapura bertindak membatalkannya di saat-saat akhir.

Awi menerusi rakaman video yang dimuat naik di Instagram hari ini berkata, dia dan keluarganya meminta maaf kerana terpaksa menarik diri dari perkahwinan itu.

“Ada banyak benda yang harus kita selesaikan sejak awal lagi. Namun, pada saat-saat akhir baru kita tahu kisah sebenar.

“Keluarga saya memerlukan waktu untuk berfikir cara yang terbaik untuk menangani dugaan ini,” katanya dalam nada sebak.

Awi berkata, dia sudah melakukan yang terbaik buat Atikah dan keluarga, malah segala persiapan perkahwinan sudah pun siap dilakukan.

“Niat di hati adalah untuk membina masjid, menutup aibnya yang dulu dan membawa dia ke jalan Allah bersama ke arah hidup baru.

“Sebab itu saya tawakal dan terus bertunang tahun lalu. Namun, saya juga mempunyai ibu dan maruah keluarga. Terlalu berat dugaan kali ini dan saya harap kawan-kawan semua akan faham. Saya pun tidak mahu buka aib sesiapa,” katanya.

Awi berkata, jodoh adalah urusan Tuhan dan mungkin solat Istikharah yang dilakukan pada saat-saat akhir ini menjawab segala persoalan.

“Terima kasih kepada semua kawan-kawan yang memberi sokongan. Jangan bimbang, saya akan bayar balik kepada mereka yang sudah menempah tiket penerbangan dan lain-lain.

“Terima kasih juga kepada semua yang sudi menghubungi saya untuk memberi tajaan seperti kek, makanan dan pelbagai lagi. Saya akan hubungi anda kembali,” katanya.

Awi berkata, mungkin semua itu boleh disedekahkan ke rumah anak-anak yatim.

Dalam masa sama, Awi turut mengucapkan terima kasih kepada rakan media yang selalu memberi sokongan kepadanya sebelum ini.

Awi juga berharap sokongan akan terus diberikan kepada Atikah seperti mana yang dia dapat lihat ketika mereka bertunang dulu.

Bagaimanapun, dalam video berkenaan Awi tidak menyatakan punca sebenar dia terpaksa membatalkan perkahwinan itu.

Awi dan Atikah melangsungkan pertunangan pada 13 Mac tahun lalu selepas lima bulan berkenalan.

Sementara itu, syarikat rakaman Warner Music Malaysia yang mewakili Awi memohon penyanyi itu diberi ruang dan masa sebelum dapat menjawab apa-apa persoalan atau membuat kenyataan seterusnya.

Syarikat rakaman itu dalam satu kenyataan memaklumkan Awi kini berada di Singapura bersama keluarganya.

“Kami mohon jasa baik anda memahami keadaan Awi. Dia juga berterima kasih kepada semua rakan media yang tidak pernah jemu menyokong kerjayanya sejak dulu hingga sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Atikah terlebih dulu memuat naik status di Instagram berkongsi perkara yang sama.

Bagaimanapun, Atikah yang juga pelakon dari Singapura itu bertindak memadamkannya tidak lama selepas itu.

Menerusi perkongsian itu Atikah berkata, dia dan Awi bekerja keras bagi merealisasikan impian untuk bergelar suami isteri, tetapi mungkin tidak cukup kuat berjuang untuk terus mempertahankan cinta mereka.

“Saya berharap hubungan baik antara kami dapat dikekalkan. Terima kasih kepada Awi yang sering menjaga dan mengambil berat diri saya selama ini.

“Hati siapa yang tidak sedih apabila sedang menghitung hari untuk menempuh hari bersejarah tetapi ditimpa dengan berita yang sungguh menyedihkan dan terpaksa membatalkan impian untuk berkahwin.

“Terima kasih juga kepada semua yang bekerja keras untuk memastikan perkahwinan saya berjalan lancar. Mungkin Allah sudah ada perancangan lain untuk kami berdua. Memang sukar untuk saya menerima apa yang berlaku sekarang ini,” tulisnya.

Disiarkan pada: March 14, 2019 @ 12:49pm
d