utama

Umum boleh jadi panik

Oleh BERNAMA

KUALA LUMPUR: Kerajaan sedang meneliti tahap keseriusan pencemaran udara akibat pembuangan sisa bahan kimia di Sungai Kim Kim sebelum membuat keputusan mengisytiharkan darurat di Pasir Gudang, Johor, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Beliau berkata, tinjauan akan dilakukan untuk mendapatkan maklumat lanjut dan mesyuarat akan diadakan bagi membincangkan langkah yang boleh diambil untuk menangani masalah itu.

“Kita akan bermesyuarat dahulu untuk kita fikirkan kerana kita juga ada langkah (selain pengisytiharan darurat) yang boleh kita tangani masalah itu...Mengisytiharkan (darurat) itu menjadikan panic attack (serangan panik)’.

“Masalahnya adalah untuk mengenal pasti punca kejadian ini, kita buat langkah untuk masa ini dan tindakan jangka pendek serta panjang,” katanya kepada media di lobi Parlimen, semalam.

Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berkata, kes itu masih di bawah bidang kuasa kerajaan negeri dan beliau akan ke Pasir Gudang untuk meninjau keadaan semasa.

Beliau berkata, kerajaan akan mengambil apa jua langkah yang perlu bagi memastikan keselamatan penduduk di sekitar kawasan berkenaan terutama kanak-kanak terpelihara.

Setakat ini, seramai 947 orang menerima rawatan termasuk 82 individu dirawat di wad Hospital Sultan Ismail (HSI), 85 orang di wad Hospital Sultanah Aminah, 39 orang (wad KPJ Pasir Gudang), tiga orang (wad Regency Hospital) dan lapan orang (Unit Rawatan Rapi HSI).

  • Lagi berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 7:30am
    d