utama

Sakit misteri selepas bersalin

Oleh Zuliaty Zulkiffli

“KEADAAN isteri saya semakin hari semakin membimbangkan hingga berat badannya susut 44 kilogram dan perutnya semakin hari semakin besar seperti wanita hamil tetapi doktor belum dapat mengesahkan penyakitnya,” kata Mohd Shahrizal Hashim.

Mohd Shahrizal, 30, adalah suami Norazimah Ahmad, 31, yang menghidap penyakit misteri sejak hampir tiga bulan lalu menyebabkan selera makannya hilang selepas melahirkan anak pertama mereka, Arjuna Mikael Mohd Shahrizal, pada Disember.

Menurut Mohd Shahrizal, isterinya dikesan menghidap penyakit itu selepas tiga hari pulang dari Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di Alor Setar selepas melahirkan bayi mereka dan ketika itu dia tiba-tiba kurang berselera makan walaupun berpantang.

Katanya, isteri melahirkan anak secara pembedahan dan terpaksa menerima dua beg darah tambahan akibat kekurangan darah.

“Ketika itu, dia mengadu sakit di bahagian perut dan selepas itu perutnya makin besar seperti busung macam wanita hamil tiga bulan.

“Saya membawanya menjalani pemeriksaan di sini dan doktor mengesyaki dia berkemungkinan menghidap tiroid atau berkaitan usus selepas menjalani imbasan-X tetapi dia masih boleh membuang air besar dengan baik,” katanya ketika ditemui di HSB, semalam.

Mohd Shahrizal berkata, dia yang hanya mengambil upah menjual ayam goreng di sekitar bandar raya ini dengan pendapatan yang tidak menentu kini terjejas mata pencarian apabila terpaksa menjaga isteri yang kerap ulang alik masuk hospital.

Katanya, malam kelmarin, isterinya muntah dan tiba-tiba tidak sedarkan diri menyebabkan dia terpaksa membawa Norazimah ke Jabatan Kecemasan di HSB untuk menerima rawatan.

Menurutnya, doktor memaklumkan perut isterinya kembung disebabkan terdapat lebihan air dalam badan tetapi tidak tahu apa punca penyakitnya.

“Saya terpaksa meminta bantuan adik untuk menjaga bayi di rumah kerana perlu menjaga isteri.

“Kini saya terpaksa bergantung harap pada ahli keluarga dan sanak saudara untuk mendapatkan sumber kewangan kerana saya tiada wang disebabkan tidak bekerja dan perlu membeli susu formula serta lampin pakai buang untuk anak,” katanya.

Mohd Shahrizal berkata, wang itu juga digunakan untuk membeli lampin pakai buang dan susu untuk isteri bagi menambah berat badan serta memberi tenaga kepadanya.

Katanya, isterinya anak yatim piatu dan hanya bergantung padanya untuk menjaga makan minum sejak dimasukkan ke hospital.

“Saya buntu memikirkan masalah kewangan dan berharap ada pihak yang sudi membantu untuk meringankan masalah kami,” katanya.

Sehubungan itu, orang ramai yang ingin menyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun CIMB 7610065089 milik Mohd Shahrizal atau menghubungi talian 012-5607991.

Sementara itu, Pengerusi Sahabat Charity Balqish, Rukiza Abu Bakar turut menyampaikan sumbangan kepada Norazimah semalam dan akan membantu wanita itu sekiranya memerlukan.

Disiarkan pada: March 15, 2019 @ 10:18am
d