utama

'Lupakan' lakonan seketika- Aedy Ashraf

Oleh Najiy Jefri

WALAUPUN kerap menerima tawaran berlakon, Aedy Ashraf, 26, enggan terus dibuai rasa selesa.

Aedy yang mula berlakon ketika berusia sembilan tahun mengambil inisiatif mencabar dirinya apabila mengusahakan gerai snek kentang goreng di The Podium, Sungai Penchala, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Aedy berkata, idea untuk mengusahakan perniagaan makanan terhasil ketika mencuba kentang goreng yang serupa di gerai rakannya kira-kira tiga tahun lalu.

“Pada hujung 2017, saya makan kentang goreng serupa selepas selesai menjalani penggambaran. Ketika berpeluang merasa, saya terus jatuh cinta.

“Hampir setiap hari saya makan di sana kerana terlalu sukakan menu kentang goreng yang mempunyai pelbagai rasa. Bermula dari situ, saya berhasrat mengusahakan francais ini sendiri kerana mahu peminat dan orang ramai merasai kesedapan menu yang ditawarkan,” katanya.

Menurut Aedy, sebagai orang yang baharu berjinak-jinak dalam bidang perniagaan, dia sedia berdepan pelbagai risiko.

“Apabila membabitkan diri dalam perniagaan, saya tahu ada banyak rintangan yang perlu ditempuh dan dipelajari. Namun, ia bukan sesuatu yang perlu dibimbangkan kerana saya perlu berusaha keras dan memastikan segala yang dibuat mengikut prosedur serta membuat pemasaran dengan sebaik mungkin.

“Risiko ada di mana-mana. Dalam bidang lakonan juga ada risiko tersendiri namun cara menanganinya yang penting,” katanya.

Aedy yang dikenali menerusi filem Tentang Bulan berkata, dia bakal memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaan yang diusahakannya itu.

“Saya rasa sudah lama aktif sebagai pelakon. Jadi, saya mahu berehat seketika dan menumpukan perhatian dalam perniagaan ini. Sekarang saya sedang menjalani penggambaran bagi drama 13 episod berjudul Memori Karmila. Insya-Allah sebaik penggambaran drama ini tamat, saya akan fokus dengan perniagaan FamFries dan tahun depan akan kembali berlakon,” katanya.

Bagaimanapun, Aedy tidak menolak sekiranya ada tawaran yang bagus dan mencabar dirinya.

“Jika ada tawaran berlakon lain yang saya rasakan bagus, mungkin saya akan pertimbangkan. Bukanlah nak berehat secara total, cuma sudah masanya untuk saya menumpukan perhatian terhadap perkara lain buat sementara waktu,” katanya.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 4:30am
d