utama

'Saya tak sanggup tengok video'

Oleh Fairul Asmaini Mohd Pilus

ALOR SETAR: “Melihat video (tembakan) yang tular itu, saya jadi tak sanggup tengok sampai habis kerana terlalu kejam cuma saya mengharapkan segalanya selamat buat adik saya.”

Begitulah luahan Zarina Shuib, 53, kakak kepada mangsa rakyat Malaysia, Mohd Tarmizi Shuib, 42 yang terbabit dalam tragedi tembakan rambang di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, semalam.

Dia hanya mengetahui adiknya terbabit dalam kejadian menyayat hati apabila dimaklumkan seorang lagi adik perempuannya di Pulau Pinang sekitar jam 1.30 tengah hari, semalam.

“Saya ketika itu keluar ke kedai dan tiba-tiba mendapat panggilan daripada adik saya di Pulau Pinang.

“Dia tanya saya, tak tengok berita ke dan saya pun tanya berita apa. Dia terus maklumkan adik kami (Tarmizi) kena tembak di New Zealand,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Hutan Kampung, semalam.

Zarina kemudian terus menghubungi adik iparnya yang juga isteri Mohd Tarmizi yang berada di New Zealand untuk mengetahui keadaan adiknya itu namun panggilan tidak berjawab.

“Ahli keluarga kami yang lain ketika itu memang tak tahu keadaan Tarmizi. Kami sedaya upaya menghubungi rakan serta sanak-saudara sana sini untuk mengetahui keadaannya.

“Akhirnya kami diberitahu melalui berita tempatan keadaan Tarmizi selamat dan stabil,” katanya.

Dia berkata, perkembangan berkenaan sedikit sebanyak melegakan hatinya yang risau susulan kejadian berkenaan.

“Saya tengok berita dan laman sosial YouTube untuk mengetahui perkembangan di sana dan ada minta rakan Tarmizi untuk sentiasa memberitahu perkembangan.

“Kali terakhir kami bertemu dengan Tarmizi ketika dia pulang ke sini pada November lalu.

“Adik saya berhijrah ke New Zealand lebih setahun lalu kerana anak sulungnya dapat tawaran belajar di universiti di sana,” katanya.

Zarinah berkata, sebelum ini adiknya itu pernah terbabit dalam kejadian gempa bumi di negara itu dan perkembangan yang berlaku cukup merisaukannya.

Dia berharap kerajaan negara ini dapat melakukan sesuatu bagi memastikan adiknya itu selamat.

“Saya pernah tanya dia bagaimana duduk sana dan Tarmizi hanya bercakap perkara ini biasa apabila berada di negara orang.

“Namun saya cukup risau dengan kejadian itu terutama setelah apa yang berlaku terhadapnya,” katanya.

Dalam kejadian itu, Mohd Tarmizi dilaporkan cedera di bahagian belakang badannya manakala salah seorang daripada anaknya itu dilaporkan masih hilang.

Disiarkan pada: March 16, 2019 @ 7:30am
d