utama

Lagu khas buat ayah

Oleh Syafil Syazwan Jefri

Kasih sayang antara anak dengan bapa selalunya sukar untuk ditunjukkan seperti mana kasih sayang antara anak dengan ibu.

Namun, bagi penyanyi Sissy Imann, dia punya cara tersendiri menunjukkan kasih dan sayang terhadap figura yang dipanggil ayahanda.

Lebih menarik lagi, Sissy berkerjasama dengan Faizal Tahir, Ezra Kong, Mike Chan dan Romeo bagi menghasilkan lagu khas buat insan dicintainya itu berjudul Pesanan Ayahanda.

“Ini satu cara saya tunjukkan penghargaan kepada ayahanda yang selalu ada dengan saya.

“Melihat judul lagunya pun, tentunya ramai sudah tahu apa yang cuba saya sampaikan.

“Sebagai bapa, dia mengingatkan saya beberapa hal penting dalam hidup dan setiap pesanan itu saya terjemahkan dalam bentuk lagu,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai Mohammad Kamil, Sissy berkata bapanya itu bukan seorang yang garang.

“Dia tidak garang atau suka marah. Namun, ayahanda dan bonda meletakkan beberapa garis panduan supaya saya tidak tergelincir daripada jalan yang sepatutnya.

“Mereka sentiasa berpesan agar tahu batasan memandangkan saya anak perempuan yang sudah meningkat dewasa,” katanya.

Tambahnya, dia sudah cukup matang untuk fikirkan apa yang terbaik buatnya.

“Saya pun tahu mana yang baik dan buruk.

“Bukan saja untuk diri sendiri, saya juga akan sentiasa berfikir sekiranya saya melakukan sesuatu, adakah tindakan itu akan memberi kesan buruk kepada keluarga saya,” katanya.

Sissy juga lebih selesa berkongsi setiap apa yang dilakukannya dengan orang tuanya.

“Saya tak suka berahsia dengan ayahanda dan bonda. Setiap apa yang saya lakukan, saya akan kongsi dengan mereka.

“Mereka berikan kepercayaan kepada saya jadi, saya kena jaga dan tidak merosakkannya,” kata Sissy.

Walaupun sering ditemani keluarga, Sissy masih seperti gadis lain yang memiliki ruang privasi sendiri.

“Saya sama seperti gadis sebaya. Ada masanya saya keluarga dengan kawan-kawan menonton konsert dan macam-macam lagi,” katanya.

Mengulas lanjut lagu Pesanan Ayahanda, Sissy mengakui ia karya yang mencabar kemampuannya.

“Konsep lagu ini tidak jauh berbeza dengan lagu terdahulu.

“Namun, saya suntik sedikit kelainan dengan selitkan satu cabang Jazz iaitu Bossanova dalam lagu ini.

“Ia adalah cabaran buat saya kerana Bossanova berentak seksi dan menggoda namun saya perlu serasikan dengan jalan cerita yang lebih serius,” katanya.

Sejak dilancarkan pada 30 Januari lalu, Pesanan Ayahanda menerima reaksi positif daripada peminat.

Cuba nasib dalam lakonan

Walaupun aktif dalam bidang nyanyian, itu tidak bermakna Sissy meletakkan batasan dalam kerjaya seninya.

Kini, dia berjinak-jinak dalam bidang lakonan dan menjalani penggambaran drama bersiri Tolong Aku Doktor Cinta untuk RTM.

“Dalam drama ini, saya bawa watak Tania, gadis berusia 19 tahun yang menghidap kanser. Saya kena belajar bermain dengan emosi untuk menterjemahkan karakter ini,” katanya.

Sebelum itu, dia baru selesai menjalani penggambaran telefilem khas sempena Anugerah Juara Lagu (AJL) berjudul Misi Penculikan Cinta yang ditayangkan 2 Februari lalu.

Selain itu, Sissy juga menantikan kehadiran satu lagi drama lakonannya berjudul Kariah Cik Pong yang akan ditayangkan menjelang Ramadan.

“Dalam drama itu, saya melakonkan karakter janda muda bernama Cik Tiara. Memang seronok dan kelakar sangat sebab ia drama komedi,” katanya.

Menurutnya, setiap karya ada cabaran tersendiri dan kerana itu perlu pandai menyesuaikan diri.

“Dalam drama komedi, saya boleh jadi diri sendiri dan tak perlu bermain dengan emosi. Itu jadi lebih mudah berbanding genre lain.

“Apa pun, sebagai pelakon saya kena mencuba semua genre dan biasakan diri. Apatah lagi saya masih ‘hijau’ dalam bidang ini. Banyak nak kena belajar dan kuasai,” katanya.

Ditanya sama ada dia ingin bergerak serius dalam bidang itu, Sissy akan mencuba apa saja peluang yang hadir depan matanya.

“Apabila diberi peluang saya akan cuba buat. Namun, ia tidak bermakna saya akan ambil semua tawaran.

“Jika tak mampu buat saya akan tolak secara baik. Kata orang, kita kena ukur baju di badan sendiri,” katanya.

Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 6:30am
d