utama

'Syukur masih bernyawa walau dihempap mayat'

Oleh Iskandar Shah Mohamed

“SAMBIL menangis, dia (suami) tidak berhenti menyatakan rasa syukur kerana masih bernyawa walaupun dihempap banyak mayat ketika cedera ditembak dalam tragedi berdarah itu,” kata Prof Madya Dr Zurinawati Mohi, 48.

Detik hitam itu diluahkan suaminya, Mohd Nazril Hisham Omar, 46, yang cedera dalam kejadian tembakan di Masjid An-Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Kini, bapa kepada empat anak itu dilaporkan stabil dan menjalani dua pembedahan di Hospital Christchurch dipercayai akibat kecederaan di pinggang dan ibu jari kaki kirinya.

Zurinawati yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Pengurusan Hotel dan Pelancongan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam berkata, dia dan anak sulungnya, Muhammad Haiqal Daniel, 19, tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Christchurch (CIA) pada 10.40 pagi hari ini.

“Setibanya di hospital itu, hati saya lega melihat wajah suami biarpun keadaannya masih lemah dan akan menjalani pembedahan kali kedua hari ini.

“Selain itu, dia bertanyakan mengenai keadaan saya dan anak sambil turut menangis kerana bersyukur terselamat,” katanya ketika dihubungi Harian Metro di Shah Alam, hari ini.

Menurutnya, suaminya turut menceritakan kejadian itu yang pada mulanya disangka hanya bunyi mercun biasa di dalam masjid berkenaan.

“Terkejut melihat jemaah lain ditembak, dia kemudian cuba melarikan diri, namun kaki dan pinggangnya ditembak lelaki bersenjata berkenaan.

“Dia kemudian terjatuh sebelum dihempap beberapa mayat lain dan turut berlumuran darah. Pada waktu itu, dia memberitahu turut dapat melihat jelas lelaki itu menembak jemaah lain namun tidak mampu berbuat apa-apa kerana cedera,” katanya.

Zurinawati berkata, dia bersyukur kerana suaminya dilaporkan stabil dan akan menerima rawatan rapi selepas selesai pembedahan.

Beliau berkata, pembedahan kali kedua dijalankan bagi mengenal pasti kecederaan lain dan mereka sekeluarga berharap segala urusan berjalan lancar.

Beliau berkata, dia kemungkinan akan berada di negara itu selama beberapa bulan untuk menjaga suaminya dan mengharapkan doa rakyat Malaysia turut mengiringi keluarga mereka.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 17, 2019 @ 4:04pm
    d