utama

Ikut abang angkat

Oleh Nurul Hidayah Bahaudin

SEORANG remaja perempuan memberi alasan mahu melihat aksi lumba haram ketika ditahan dalam Operasi Bersepadu Samseng Jalanan di Plaza Tol Kajang Selatan, Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS) di sini, awal pagi, semalam.

Remaja berusia 18 tahun itu turut memaklumkan dia kerap datang ke lokasi berkenaan sambil ditemani abang angkatnya berusia 20 tahun dengan menunggang motosikal kerana dianggap aktiviti menyeronokkan.

Gadis yang mahu dikenali sebagai Mariam berkata, dia seronok setiap kali melihat aksi dipamerkan mat rempit dan sanggup bersengkang mata beberapa jam bagi ‘menonton’ aksi itu.

“Ini kali ketiga saya ke sini bersama abang angkat. Saya kerap datang ke sini sebab seronok lihat aksi mereka (mat rempit).

“Kebiasannya kami akan datang ke sini kira-kira jam 1 pagi kerana perlumbaan bermula jam 2 pagi. Saya akan tunggu hingga jam 5 pagi tanpa pengetahuan ahli keluarga,” katanya yang tinggal bersama keluarga angkat di Beranang, di sini.

Gadis itu antara dua wanita yang ditahan daripada keseluruhan 181 individu terdiri daripada penunggang dan pembonceng motosikal yang diberkas.

Tinjauan Harian Metro mendapati lokasi berhampiran Plaza Tol Kajang Selatan menghala Seremban bagaikan pesta apabila ratusan penunggang dan pembonceng motosikal berkumpul di kawasan itu.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, tujuh pegawai dan 86 anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang terbabit dalam operasi bermula kira-kira jam 2 pagi.

Menurutnya, dalam operasi itu, 162 motosikal diperiksa membabitkan 181 penunggang dan pembonceng motosikal termasuk dua wanita berusia antara 15 hingga 30 tahun.

“Berdasarkan pemeriksaan, 218 saman dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan termasuk tiada lesen memandu, ubah suai motosikal dan cukai jalan tamat tempoh,” katanya.

Ahmad Dzaffir berkata, pihaknya turut menjalankan saringan ujian air kencing terhadap 10 lelaki namun mereka negatif dadah.

“Kami menyita tujuh motosikal termasuk sebuah motosikal yang ditinggalkan di dalam longkang oleh penunggang yang melarikan diri,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 7:00am
d