utama

Pesta kemarau

Oleh Siti Nor Hidayatidayu Razali

MUSIM kemarau menyebabkan paras air sungai Golok surut dan mula menjadi tumpuan orang ramai yang mengambil peluang untuk mandi serta berniaga di kawasan sekitar Pangkalan Pasir, di sini.

Kawasan itu menjadi tumpuan sejak seminggu lalu oleh pengunjung dari Kelantan dan negara jiran. Lebih 10 peniaga mengambil kesempatan membuka gerai menjual air dan makanan ringan sejak empat hari lalu berikutan lokasi itu menerima pengunjung yang ramai setiap hari.

Tinjauan Harian Metro di Pangkalan Pasir mendapati suasana meriah dan sungai Golok menjadi tapak pesta apabila lebih 500 orang berkunjung ke kawasan itu dan ada yang mengambil peluang mandi berikutan paras air di lokasi itu hanya kira-kira 0.2 meter (m).

Menurut portal Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Kelantan, paras air sungai Golok mencatatkan 3.35m berbanding paras normal 5m.

Suri rumah, Shidah Jusoh, 39, yang tinggal di Kampung Cabang Tiga Bagus berkata, dia mengambil peluang berniaga kerana kawasan itu menerima kunjungan orang ramai setiap hari.

“Saya berniaga sejak empat hari lalu bermula jam 3 petang hingga 7 malam setiap hari dan memperoleh antara RM100 hingga RM200 sehari.

“Sebelum ini, saya tidak bekerja dan melihat sambutan orang ramai memberi semangat untuk saya berniaga air dan makanan ringan.

“Kawasan ini sebelum ini sunyi, namun sejak seminggu lalu orang ramai datang ke lokasi ini bukan sahaja penduduk sekitar, malah dari luar Rantau Panjang,” katanya ketika ditemui di sini.

Katanya, paras air surut mendadak itu berlaku seperti tahun 2015 yang turut menerima kunjungan orang ramai.

Pengunjung, Che Romah Ibrahim, 59, berkata, dia dan suami, Mohd Hussin Abdullah, 59, tertarik untuk datang ke kawasan itu selepas mendengar lokasi itu meriah dan menjadi tumpuan.

“Kami tinggal di Sri Gombak, Selangor, kebetulan pulang ke kampung kerana ada kematian mengambil peluang untuk melihat sendiri suasana di sini,” katanya.

“Saya tidak sangka sungai Golok ketika musim kemarau ini sangat meriah,” katanya.

Disiarkan pada: March 18, 2019 @ 8:00am
d