utama

[UPDATE] Lelaki Turki tembak mati tiga mangsa diburu

Oleh Reuters

SEORANG penyerang bersenjata disyaki lelaki Turki menembak mati tiga individu dan mencederakan sembilan lain dalam sebuah tram di bandar Utrecht, Belanda di sini hari ini.

Susulan itu pihak berkuasa Belanda meningkatkan tahap ancaman keganasan ke paras tertinggi di wilayah ini dengan sekolah diarah menutup pintu dan polis separa tentera menaikkan kawalan keselamatan di lapangan terbang dan infrastruktur penting lain selain masjid.

Perdana Menteri Mark Rutte mempengerusikan rundingan krisis, mengatakan beliau amat bimbang dengan insiden itu yang berlaku tiga hari selepas penyerang membunuh 50 orang dalam tembakan besar-besaran dua masjid di Christchurch, New Zealand.

“Polis meminta maklumat berhubung suspek dikenali sebagai Gokmen Tanis (lahir di Turki) berusia 37 tahun yang dikaitkan dengan insiden pagi ini,” kata polis Belanda dalam satu kenyataan.

Mereka mengeluarkan imej lelaki itu dan memberi amaran kepada orang awam supaya jangan mendekatinya dan tidak memberi butiran lanjut.

Datuk bandar Utrecht, Jan van Zanen, berkata tiga orang dibunuh dan sembilan cedera, tiga daripadanya parah dalam insiden tram terbabit.

“Negara kita dikejutkan dengan serangan di Utrecht. Polis dan pendakwa raya meneliti apa yang berlaku. Apa yang diketahui berlaku tembakan dalam tram di Utrecht,” kata Rutte dalam satu kenyataan.

Rutte tidak mengulangi dakwaan awal insiden itu mungkin mempunyai motif keganasan.

Akhbar Algemeen Dagblad, memetik saksi berkata, lelaki bersenjata menyasar seorang wanita dalam tram dan kemudian menembak individu yang cuba membantunya.

Berita berkaitan

3 maut dalam kejadian tembakan di Utrecht

Polis sahkan tembakan di Utrecht

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 12:37am
d