utama

Sarah Suhairi-buru impian ketepi gosip

Oleh Norhayati Nordin

Meskipun kini lebih jadi perhatian dengan gosip peribadi, penyanyi remaja, Sarah Suhairi tetap berusaha memahat bakat seninya.

Baru setahun aktif, Sarah yang berjaya dinobatkan sebagai juara Big Stage musim pertama tahun lalu menegaskan ada impian sedang diburunya.

Tidak begitu mempedulikan gosip mengenai dirinya, gadis manis berusia 19 tahun itu akur lumrah hidup sebagai selebriti.

Ditemui baru-baru ini, Sarah berkata tiada guna dia membiarkan amarah, kecewa dan sedih beraja di hati apabila terpalit gosip.

“Biarpun sudah banyak kali beri penjelasan, saya tak mampu mengubah pemikiran orang lain dan jalan paling mudah, biarkan mereka. “Biarlah saya fokus menyiapkan album mini yang memuatkan tujuh lagu pelbagai genre.

“Pembikinan album mini ini akan merealisasikan impian saya bekerja dengan komposer berbakat dan terkenal. Antaranya Sharon Paul, Faizal Tahir dan Aman Ra yang masing-masing akan menyumbang lagu balada, pop dan hip hop,” katanya.

Mengulas mengenai pemangkin semangat, Sarah berkata dia gembira mendapat sokongan padu bapa dan keluarga tersayang.

“Kalau ikut usia pembabitkan saya dalam bidang seni suara, rasanya masih awal lagi untuk muncul dengan album mini. Namun, selepas bapa meyakinkan saya, akhirnya saya terbuka hati untuk mencuba.

“Berjaya atau sebaliknya album ini di pasaran nanti, saya tak mahu terlalu memikirkan perkara itu kerana paling penting sudah mencuba dan bertuah kerana berpeluang bawa lagu pelbagai genre.

“Ia semestinya satu cabaran besar buat saya dan inilah masanya untuk buktikan bakat yang ada,” katanya.

Turut mengorak langkah dalam dunia lakonan, Sarah berkata dia sekadar mencuba dan menyambut tawaran yang datang bergolek depan mata.

Bagaimanapun, tegas Sarah, keutamaannya tetap pada kerjaya nyanyian dan lakonan hanya mengikut kesesuaian watak serta kelapangan jadual seni. Terdahulu, bakat nyanyian Sarah mula jadi perhatian menerusi single Pedih dan diikuti single kedua berjudul Nyawa dan Raga.

Mirip Liyana Jasmay

Bertubuh kecil, sekali pandang raut wajah Sarah saling tak tumpah pelakon dan penyanyi Liyana Jasmay. Ditanya mengenainya, Sarah berkata dia sering dikaitkan dengan Liyana walau ketika menggunakan pendakap gigi.

“Sebenarnya, sudah lama orang perasan dan kata wajah saya mirip Liyana. Kalau ikutkan segan apabila diri dikatakan sama dengan bintang terkenal tetapi saya cuba lihat dari sudut positif dengan menganggap kata-kata itu sebagai penghargaan.

“Bagi saya, Liyana berjaya sebagai pelakon, penyanyi dan penerbit produksi. Sedangkan saya masih bertatih dan perjalanan pun masih jauh. Saya perlu timba pengalaman sebanyak mungkin jika mahu stabil dan bertahan lama dalam bidang ini,” katanya.

Beralih perkembangan terkini, Sarah bersama dua rakan baiknya iaitu Wani Kayrie dan Sissy Imann digandingkan dalam program The House musim kelima terbitan Astro.

Program lima episod yang setiap satunya berdurasi 22 minit itu akan bersiaran di portal Astro Gempak bermula malam ini manakala siaran televisyen pula pada 27 Mac depan, jam 9 malam.

Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 5:00am
d