utama

Kawal rapi kebumi mangsa

Oleh Agensi

KOMUNITI Islam di Christchurch, New Zealand dan polis membuat persediaan bagi mengebumikan 50 jenazah mangsa yang terkorban dalam insiden keganasan di dua masjid pada Jumaat lalu.

News.com.au melaporkan, kawasan tanah perkuburan itu dikawal rapi polis yang menempatkan besi penghadang sebaik kerja menggali kubur selesai. dilakukan.

Jumaat lalu, 50 jemaah ditembak seorang pengganas, Brenton Tarrant yang melakukan serangan di Masjid al Noor dan Lindwood ketika mereka ingin menunaikan solat Jumaat dan menyiarkan insiden ganas itu di Facebook.

Kejadian itu turut menyebabkan 50 yang lain cedera termasuk 34 masih dirawat di hospital manakala 12 lagi ditempatkan di unit rawatan rapi.

Perdana Menteri, Jacinda Ardern semalam, memberi jaminan bahawa semua mayat akan diserahkan kepada keluarga masing-masing secara berperingkat sehingga esok, lapor CNN.

Ardern berkata, enam pakar identifikasi mangsa diterbangkan khas dari Australia ke New Zealand sejak minggu lalu untuk membantu pihak berkuasa untuk mengenal pasti mayat mangsa,

“Amat penting bagi kita untuk memastikan sebab kematian untuk mana-mana prosiding mahkamah selepas ini,” kata Detektif Superintendan Peter Read.

Sementara itu, Ketua Koroner, Deborah Marshall menegaskan, proses identifikasi yang dilakukan secara tergesa-gesa akan memberi kesan buruk.

“Tidak ada yang lebih teruk daripada memberi mayat mangsa kepada keluarga yang salah. Ia tidak akan berlaku di sini,” katanya.

Tarrant, 28, yang obses dengan ideologi ketuanan kulit putih, dihadapkan ke mahkamah sehari selepas kejadian itu dan dia dilaporkan menolak khidmat peguam, sebaliknya ingin mewakili diri sendiri di mahkamah.

  • Lagi berita berkaitan Pembunuhan Christchurch
  • Disiarkan pada: March 19, 2019 @ 8:01am
    d