utama

'Kami sayang Haziq'

“KAMI sangat menyayangi Haziq, dia orang yang sangat beriman dan selalu ingat mati.

“Arwah selalu memberitahu kami dia mahu meninggal dunia dalam husnul khatimah,” kata Eihsan Basha Kamal Basha, 17, rakan baik arwah Mohd Haziq Mohd Tarmizi, 17, yang meninggal dunia selepas terkena tembakan di Masjid Al Noor, Christchurch, New Zealand, Jumaat lalu.

Eihsan Basha berkata, dia mengenali Haziq sejak 2015 ketika menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jalan Empat, Bandar Baru Bangi, Selangor.

“Berita kematian Haziq memang mengejutkan dan buat rakan sekelas yang lain sangat sedih.

“Haziq memang orang yang beriman, tidak pernah tinggal solat dan saling mengingati kami jangan lalai dengan duniawi,” katanya.

Eihsan berkata, kali terakhir dia menemui Haziq pada 26 Disember tahun lalu ketika arwah pulang bercuti ke Malaysia.

“Arwah datang ke rumah dan kami ke gimnasium bersama-sama. Tiada sebarang perubahan ditunjukkan Haziq.

“Sebenarnya arwah suka membantu orang dalam kelas terutama saya membabitkan mata pelajaran Matematik. Pastinya pemergian Haziq dirindui,” katanya.

Menurutnya, Haziq banyak mengajar mereka mengenai nilai persahabatan.

“Sebelum Haziq berpindah ke New Zealand, dia mahu kami saling berhubung.

“Saya masih ingat ayatnya, jika dia meninggal dunia, arwah mahu kami mengetahuinya dan begitu juga sebaliknya,” katanya.

Eihsan berkata, dia diberitahu oleh rakan sekelas lain bahawa jenazah Haziq seperti sedang tidur.

“Muka arwah kelihatan bersih, bibir merah dan nampak seperti tidur.

“Alhamdulillah, tercapai impian Haziq untuk meninggal dunia dalam husnul khatimah,” katanya.

Katanya, sebelum Haziq berhijrah ke New Zealand, mereka sekelas membuat perjumpaan di kafe.

“Ketika itu, ramai antara kami tidak mengetahui jamuan perpisahan yang diadakan untuk meraikan Haziq berikutan dia tidak mahu orang bersedih dengan pemergiannya.

“Namun sebaik melihat IG (Instagram) Haziq dengan kapsyen ‘Goodbye korang’, baru kami tahu dia sudah ke New Zealand,” katanya.

Eihsan berkata, dia berharap keluarga arwah kuat berdepan kehilangan anak mereka dan mengetahui semua rakan Haziq di Malaysia sentiasa ada untuk mereka.

“Saya berharap rakyat Malaysia mendoakan arwah Haziq dan percayalah kami sangat menyayanginya,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 10:01am
d