utama

Single balada hadiah untuk peminat

Oleh Najiy Jefri

SEMPENA ulang tahun kelahiran yang ke-27 Sabtu lalu, penyanyi dan pelakon, Ayda Jebat menghadiahkan single bergenre balada kepada peminatnya.

Ayda atau nama sebenarnya Nur Suhada Jebat berkata, lagu berjudul Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) itu didedikasikan khas buat peminat yang tidak pernah berhenti menyokong karier seninya.

“Kebiasaannya, saya dapat hadiah daripada peminat sempena hari lahir tetapi tahun ini saya lakukan sesuatu yang berbeza dengan menghadiahkan single balada kepada mereka.

“Peminat sudah lama menantikan karya sebegini dan lagu ini buah tangan istimewa saya kepada mereka,” katanya.

Menurutnya, selepas single Pinjamkan Hatiku mendapat maklum balas positif peminat, dia terfikir untuk mempertaruhkan lagu bergenre balada kali ini.

“Biarpun sebelum ini pernah muncul dengan lagu Pinjamkan Hatiku berduet dengan Adi Priyo, saya masih menerima permintaan daripada peminat untuk muncul dengan lagu balada.

“Saya berharap lagu ini dapat menjadi hadiah bermakna buat mereka yang menantikan karya baharu dan lebih istimewa ia dilancarkan pada hari lahir saya,” katanya.

Mencipta lagu itu bersama komposer Indonesia, Irwan Simanjuntak, Mana Ada Hati (Yang Ingin Trus Disakiti) adalah lagu tema untuk drama bersiri terbaharu lakonan Ayda, Asalkan Dia Bahagia yang kini bersiaran di slot Akasia TV3.

Kata Ayda, dia teruja dapat bekerjasama dengan Irwan selepas kali pertama menghasilkan single Nakal Nakal Nakal beberapa tahun lalu.

“Mungkin selama ini saya lebih banyak dikenali dengan lagu tempo rancak berbanding balada.

“Saya anggap lagu ini berbeza daripada apa yang biasa kita dengar,” katanya.

Melanjutkan bicara mengenai album penuh yang bakal dilancarkan tahun ini, Ayda yang turut terkenal menerusi single Temberang ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong mengaku tidak sabar menyiapkan bingkisan yang bakal memuatkan 10 lagu itu.

“Tiada lagu lama dalam album ini. Semuanya ibarat keluar dari ketuhar,” katanya yang berulang-alik dari Kuala Lumpur ke Jakarta bagi menyiapkan album itu.

Kata Ayda, album baharu itu adalah hadiah kepada peminat yang setia bersamanya sejak awal kemunculan dulu.

“Projek ini dirancang sejak tahun lalu. Apabila ada ilham mencipta lagu, saya terus catat.

“Moga dengan lahirnya album ini, kerjaya nyanyian saya akan jadi lebih stabil,” katanya.

Disiarkan pada: March 22, 2019 @ 5:30pm
d