utama

Van sekolah beracun

Oleh Mohd Jamilul Anbia Md Denin

STRATEGI pemasaran lebih kreatif diguna pakai golongan peniaga pil kuat apabila ada antara mereka menggunakan van sekolah, peti sejuk aiskrim selain kedai kopi bagi memasarkan produk beracun itu.

Pil rangsangan seks haram yang terus mendapat permintaan tinggi dalam kalangan lelaki tempatan itu mampu menjana pendapatan sehingga empat angka sebulan menyebabkan golongan ini mencari helah untuk menjualnya kepada umum.

Kebanyakan mereka menggunakan aplikasi di media sosial atau kaedah pemasaran atas talian untuk mendapatkan tempahan seramai mungkin pembeli sebelum membuat penghantaran produk.

Jurucakap Bahagian Penguatkuasa Farmasi (BPF) Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkata, pelbagai taktik baru dibongkar susulan intipan dilakukan Cawangan PenguatkuasaFarmasi (CPF) Pahang, CPF Terengganu dan CPF Kelantan di beberapa premis dikenal pasti sekitar Kuantan, Pahang sejak Isnin lalu.

Menurutnya, risikan mendapati sebuah kedai ubat tradisional milik lelaki tempatan berperanan pembekal utama pelbagai jenama pil ransangan seks diseludup dari luar negara.

“Susulan itu serbuan dilakukan di premis itu sebelum pegawai CPF menyoal siasat isteri kepada pemilik premis berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di premis itu menemui ribuan pil perangsang seks Tadalafil dan Tisu Magic disembunyikan di dalam peti sejuk ais krim. Semua pil rangsangan seks itu diletakkan di bahagian bawah aiskrim bagi mengelak ia dikesan,” katanya.

Menurutnya, pemilik premis itu akhirnya tampil sebelum menunjukkan sebuah premis kedai kopi yang dijadikan stor penyimpanan lebih banyak pil rangsangan seks haram itu.

“Susulan kejayaan itu, pegawai CPF kemudian turut menyasarkan penjual ubat perangsang seks jalanan yang dikesan didalangi pasangan suami isteri di bandar sama.

“Hasilnya kami menahan seorang pemandu van sekolah yang dikesan menjadikan pengangkutan awam itu sebagai ‘penyamaran’ untuk menghantar pil rangsangan seks kepada pelanggan,” katanya.

Dia berkata, lelaki itu yang ditahan sekitar jam 2 petang, kelmarin, dikesan menjual pil rangsangan seks kepada pelanggan yang membuat tempatan melalui aplikasi di laman sosial.

“Dia dipercayai mendapatkan bekalan pil berkenaan daripada isterinya yang bekerja di sebuah kedai ubat di bandar sama. Hasil pemeriksaan dilakukan pada van sekolah itu, kami menemui berpuluh kotak pil Tadalafil pelbagai jenama yang mahu diserahkan kepada pelanggan,” katanya.

Difahamkan, pasangan itu mendapatkan tempahan melalui aplikasi dalam talian dari pelanggan sebelum membuat penghantaran ‘serah dan bayar’.

Menurutnya, sebanyak 13 serbuan dilakukan melalui Operasi CTY 19 itu dan rampasan pil rangsangan seks beracun mencecah nilai RM80,000 selain pelbagai produk tidak berdaftar,kosmetik tidak bernotifikasi dan dicemari racun berjadual bernilai lebih RM200,000.

“Susulan itu, siasatan dan tindakan akan diambil mengikut Seksyen 13(a), Akta Racun 1952, Peraturan 7(1)(a) PKDK 1984 dan Peraturan 18A(1)(a) PKDK 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM10,000 atau penjara maksimum empat tahun atau kedua-duanya,” katanya.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 8:03am
d