utama

Rokok lipat tepi jalan [METROTV]

Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz dan Zaid Salim

PENGUATKUASAAN kerap menyebabkan peniaga rokok seludup dikatakan menggunakan pelbagai taktik menjual barangan terlarang itu.

Tinjauan Harian Metro di Kuantan, Pahang dan Kuala Terengganu, Terengganu mendapati antara taktik digunakan ialah menjual di kaki lima, selain menggunakan isyarat lampu berkelip di kedai untuk menunjukkan mereka ada menjual rokok seludup.

Di Jalan Pasar, Kuantan, didapati kegiatan penjualan rokok seludup bermula seawal jam 10 pagi ketika orang ramai sibuk menjalankan urusan harian.

Beberapa peniaga hanya membawa kerusi lipat dan duduk di kaki lima sementara menunggu kehadiran pelanggan sama ada membeli dari motosikal atau melalui tingkap kereta.

Taktik itu dipercayai bagi memudahkan mereka melarikan diri jika pihak berkuasa terutama Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) atau Pasukan Polis Marin (PPM) menjalankan operasi.

Penjual rokok seludup berusia 40-an memberitahu, dia mula berniaga di sekitar Jalan Pasar sejak dua tahun lalu dan memperoleh keuntungan purata RM200 hingga RM400 sehari.

“Keuntungan tak tentu kalau banyak stok dan boleh jual sampai habis banyaklah untung, kalau tak sikit saja dapat. Kebiasaan yang datang beli pelanggan tetap,” katanya.

Sementara itu, tinjauan di Kuala Terengganu mendapati peniaga rokok kaki lima yang popular dengan gelaran ‘rokok lipat’ turut menggunakan isyarat lampu merah berkelip dipasang di lokasi premis.

Bagi penduduk tempatan kerlipan lampu merah adalah fenomena biasa yang menunjukkan rokok seludup dijual di situ.

Tinjauan mendapati 50 peniaga rokok seludup bebas menjalankan perniagaan antara jam 8 malam hingga awal pagi.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 9:01am
d