utama

Tempat ketiga pun jadilah...

Oleh Syazwan Msar

SKUAD Harimau Malaya mengakhiri perlawanan Piala Airmarine 2019 pada kedudukan ketiga selepas menewaskan Afghanistan 2-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur, hari ini.

Kemenangan membuktikan skuad bimbingan Tan Cheng Hoe masih dibarisi pemain terbaik apabila memberi tentangan sengit kepada skuad kendalian Anoush Dastgir.

Separuh masa pertama menyaksikan keadaan padang yang becak dan hujan lebat menyebabkan rentak kedua-dua pasukan sedikit terganggu apabila masing-masing gagal melancarkan serangan berbahaya ke kubu lawan.

Namun, skuad daripada Asia Timur itu dilihat terlebih dahulu berada di depan menerusi pemain tengahnya Faysal Shayesteh pada minit 31 sekali gus menewaskan penjaga gol Harimau Malaya Khairul Fahmi Che Mat.

Namun, gol cantik daripada pemain paling kecil atas padang Faiz Nasir tiga minit sebelum separuh masa tamat memberi sedikit kelegaan pada tuan rumah untuk kedudukan 1-1.

Babak kedua menyaksikan kedua-dua pasukan bermain lebih agresif mencari gol namun penyudah yang tumpul menafikan mereka untuk meraikannya.

Malaysia dilihat mempunyai lebih banyak peluang terutama pemain tengahnya Muhammad Hadin Azman m-61 apabila dia yang hanya berdepan dengan penjaga gawang lawan gagal menyumbat gol.

Skuad Harimau Malaya sekali lagi berpeluang menambah gol lima minit kemudian namun tendangan Abdul Halim Saari berjaya ditepis penjaga gol.

Gol ditunggu skuad Harimau Malaya akhirnya menjelma apabila Abassin Alikhil menyumbat gol sendiri akibat keadaan kucar kacir di pintu hadapan gol ketika perlawanan berbaki 10 minit.

Kedudukan kekal 2-1 sehingga tamat perlawanan sekali gus skuad negara boleh menarik nafas lega tidak berada di kedudukan tercorot dalam saingan Piala Airmarine 2019.

Disiarkan pada: March 23, 2019 @ 7:00pm
d