utama

Fatin tak sedih lagi

Oleh Amirul Haswendy Ashari

PERJALANAN hidup Fatin Nur Afifah Shamsudin, 24, atau Fatin Afeefa tidak pernah sunyi dengan kontroversi dan spekulasi. Antara perkara yang pernah hangat diperkatakan adalah, dia liar ketika remaja, kisah perceraian dengan pelakon Adam Shahz, dituduh bermain ‘ilmu hitam’ dan terbaharu, dikaitkan menjalin hubungan dengan suami orang.

Namun, semua itu tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi diri sendiri sekali gus terus berdiri teguh dalam arena hiburan tempatan.

Bertemu di Balai Berita baru-baru ini, Fatin mengakui belajar mengabaikan setiap tuduhan dilemparkan padanya bagi meneruskan hidup sebagai wanita, ibu dan anak yang lebih matang.

“Apabila orang bercakap mengenai saya tahun lalu, saya rasa sangat tertekan sampaikan malas nak keluar rumah. Saya juga tidak mengemas kini media sosial hingga ramai tertanya-tanya.

“Kemudian saya sedar, tiada apa-apa yang berubah jika terus bersedih. Jadi, saya fokus terhadap anak-anak dan keperluan mereka agar tiada yang kurang. Saya juga tumpukan sepenuh perhatian terhadap kerja. Apa orang nak cakap, biarkanlah. Saya hanya pekakkan telinga dan teruskan hidup seperti biasa,” katanya.

Fatin berkata, sejak itu hari-hari yang dilaluinya lebih bahagia kerana berjaya menepis aura negatif daripada terus menghantui dirinya.

Jelasnya, apabila memilih untuk menggembirakan diri sendiri, rezekinya juga semakin murah.

Ia jauh berbeza dengan sikapnya dahulu yang cepat marah dan mengamuk sekiranya dikutuk.

“Sekarang, apabila orang bercakap buruk dan mengutuk, saya patahkan kata-kata mereka dengan ucapan terima kasih.

“Saya perasan ramai netizen yang dahulu pernah mengata dan menghina saya, sudah kurang berbuat demikian sebaik saya mengamalkan cara itu,” kata Ibu kepada Adam Aisy Arrian, 7, dan Ivy Herra Sophia, 4, ini.

Tahun murah rezeki

Fatin yang muncul dalam drama Jodoh-Jodoh Anisa dan Asalkan Kau Bahagia, bersyukur kerana semakin banyak kecaman diterima, lebih murah rezekinya.

“Saya dapat beli kereta pertama tahun ini. Ikutkan nak beli rumah tetapi ada menasihatkan saya beli kereta dahulu.

“Jadi, saya sasarkan mungkin tiga atau empat tahun lagi akan beli rumah. Namum, sekiranya murah rezeki, tidak mustahil saya beli rumah tahun ini atau tahun depan,” katanya.

Ditanya mengenai rumah idaman, Fatin berkata, dia cenderung memilih kondominium berbanding teres kerana aspek keselamatan.

Apatah lagi, apabila bekerja sebagai pelakon, dia sering pulang lewat dan mudah terdedah kepada bahaya.

“Kalau balik lewat, orang tahu kita tinggal di mana jika tinggal di rumah teres. Berbeza menetap di kondominium, mereka tidak tahu mana satu rumah kita.

“Saya sangat pentingkan isu keselamatan kerana pernah diganggu beberapa pihak, termasuk netizen yang mendakwa mereka tahu di mana saya tinggal.

“Saya terpaksa minta pengawal keselamatan tidak mengizinkan sesiapa masuk jika tidak mendapat kebenaran saya,” katanya.

Selain itu, dia juga pernah berdepan gangguan peminat dan lelaki tidak dikenali yang sanggup menunggu di balai pengawal semata-mata mahu bertemu dengannya.

Selesa cinta tanpa komitmen

Beralih soal hati, Fatin mengakui dia kini dilamun cinta dengan jejaka bukan berbangsa Melayu.

“Ikutkan, tiada perancangan untuk ke peringkat seterusnya. Saya bahagia dengan cara sekarang, tak perlu fikir soal makan minum, pakaian untuk suami.

“Kalau berkahwin, saya kena fikirkan kehendak suami padahal saya sudah ada komitmen dengan anak-anak dan kerjaya seni.

“Nak tambah komitmen lagi? Rasanya biarlah dahulu sebab kalau berkahwin, mesti akan tambah anak lagi. Cukuplah dengan dua anak yang ada sekarang,” kata Fatin seraya ketawa.

Begitupun, andai ada jodoh dia bersedia untuk ke arah itu enam atau tujuh tahun lagi. Katanya, andai mendirikan rumah tangga, dia akan berhenti berlakon kerana mahu tumpukan sepenuh perhatian terhadap keluarga. Fatin juga mendedahkan, teman lelakinya juga selesa dengan keputusannya untuk tidak mengikat sebarang komitmen.

“Saya tidak menyesal bersama dia sebab dapat rasa kasih sayang yang tidak pernah saya dapat sebelum ini.

“Dia juga sangat matang dan faham sekiranya jodoh saya dengan orang lain,” katanya.

Jelasnya, teman lelaki juga tidak pernah ‘naik tangan’ waima memaki hamun jika marah.

“Saya mula berlakon seawal usia lapan tahun, jadi saya cepat matang kerana sering bergaul dengan mereka yang berusia.

“Apabila mengambil keputusan untuk berkahwin awal suatu ketika dulu, ia jadi pengajaran buat saya,” katanya.

Fatin juga enggan terburu-buru memperkenalkan teman lelakinya kepada anak-anak kerana tidak mahu beri mereka harapan.

Katanya, hanya apabila dia dan teman lelaki benar-benar akan naik jenjang pelamin, barulah dia akan perkenalkan kepada mereka.

“Saya tidak mahu beri harapan kepada anak-anak, bimbang nanti mereka keliru. Kalau sudah rapat, fikiran mereka akan terganggu sekiranya kami tak jadi kahwin.

“Mereka tentu sedih dan saya tidak mahu mereka rasa kehilangan,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 7:00am
d