utama

Koperasi sekolah jutawan [METROTV]

Oleh Iskandar Shah Mohamed

ENAM koperasi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) dan sebuah Kolej Vokasional boleh digelar sebagai koperasi jutawan selepas memperoleh pendapatan lebih RM1 juta dengan mempelbagaikan perniagaan termasuk ada yang memiliki Taman Asuhan Kanak-kanak (Taska), kafeteria selain mesin dobi cuci sendiri.

Antara MRSM berkenaan MRSM Taiping, MRSM Tun Abdul Razak (Pahang), MRSM Kepala Batas (Pulau Pinang), MRSM Kubang Pasu (Kedah), MRSM Batu Pahat Berhad (Johor) dan Kolej Vokasional Tanah Merah (Kelantan).

Namun, MRSM Taiping dianggap paling berjaya kerana mencatat perolehan tertinggi pada 2017 iaitu RM1,304,392.

Timbalan Pengetua Pembangunan Bakat MRSM Taiping, Marsuria Darus berkata, pendapatan itu diperoleh melalui bantuan diberikan koperasi kepada pelajar iaitu pembelian iPad secara ansuran bulanan.

Katanya, ansuran bulanan pembelian iPad itu bukan sahaja membantu menjana pendapatan koperasi, tetapi juga dapat membantu ibu bapa yang kurang berkemampuan untuk membelinya secara tunai.

“Selain itu, koperasi kami juga mempunyai kafe, dobi serta menjual peralatan asrama termasuk barangan makanan seperti pasar raya, sekali gus membantu menjana pendapatan tahunan koperasi.

“Setakat ini, keahlian hanya dibuka kepada pelajar dan guru, setiap tahun kami akan membayar dividen kepada mereka yang menjadi ahli koperasi,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Marsuria yang juga pengerusi koperasi itu ketika ditanya sasaran untuk perolehan pendapatan sama tahun lalu berkata, pihaknya tidak berani untuk menjangkakan perolehan pendapatan seperti 2017 kerana jumlah pelajar sudah berkurangan.

“Jumlah pelajar kami sudah berkurangan daripada 800 kepada 500 dan ini menjadi faktor pengekalan RM1 juta itu sukar untuk dicapai, namun kami tetap berusaha meningkatkan pendapatan koperasi demi manfaat ahli.

“Penjualan barangan asrama juga membantu pendapatan koperasi termasuk kafe dan dobi, namun kekurangan pelajar mungkin sedikit sebanyak akan mengurangkan pendapatan koperasi,” katanya.

Bagi MRSM Kepala Batas pula, perolehan RM1 juta berkenaan diraih menerusi perniagaan kedai buku, taska, kafeteria dan dobi yang diusahakan di bawah Koperasi MRSM Kepala Batas Berhad.

Timbalan Pengetua MRSM yang juga penyelaras koperasi, Munazmi Mohamad berkata, koperasi berkenaan diusahakan sejak 2007 dan hanya meraih keuntungan menerusi kedai buku.

Katanya, guru penyelaras terdahulu mengambil inisiatif dengan memperluaskan perniagaan koperasi berkenaan secara berperingkat dengan membuka dobi dan taska.

“Kafeteria di sini, juga baru diambil alih pihak koperasi selepas sekian lama menggunakan khidmat secara tender.

“Kini, Koperasi MRSM ini sudah mempunyai seramai 13 pekerja,” katanya yang sudah setahun menyelaras koperasi berkenaan.

Menurut Munazmi, perniagaan kedai buku dan kafeteria yang paling banyak menyumbang kepada perolehan berkenaan iaitu kira-kira RM100,000 sebulan.

Katanya, taska pula kini mempunyai seramai 20 anak asuhan dan hanya kafeteria sahaja yang diusahakan sehingga waktu malam.

“Kedai dobi mempunyai sebanyak lapan mesin dan memberi manfaat kepada hampir 900 warga MRSM di sini, termasuk guru dan pelajar.

“Kami mempunyai pelbagai perancangan termasuk membuka satu lagi kafeteria, namun ia masih di peringkat perbincangan dan pada masa ini, kami mahu meningkatkan jualan di kafeteria dengan menjual pelbagai makanan mengikut trend dan kehendak pelanggan,” katanya.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 10:02am
d