utama

Peserta hilang ketika larian

Oleh BERNAMA

PESERTA lelaki Gopeng Ultra Trail dilaporkan hilang ketika menyertai larian berkenaan di kawasan Gua Tempurung, Kampar, semalam.

Ketua Polis Daerah Kampar Superintendan Hasron Nazri Hashim berkata, peserta yang hilang itu dikenali sebagai Mohammad Ashraf Hassan, 29, yang beralamat terakhir di Muar, Johor.

Katanya, berdasarkan maklumat awal, mangsa bersama 485 peserta lelaki dan perempuan yang lain memulakan larian dari Gua Tempurung bagi kategori 25 kilometer pagi semalam dan sepatutnya berakhir pada hari yang sama.

“Pengadu iaitu kawan mangsa dikenali Mohd Farid Md Kamal, 32, berkata, selepas selesai perlumbaan pada 2 petang semalam mendapati Mohammad Ashraf masih tidak sampai.

“Selepas panggilan telefon tidak dijawab, pengadu memaklumkan perkara ini kepada penganjur dan tindakan mencari telah dijalankan di kawasan laluan peserta tetapi tidak ditemui,” katanya ketika dihubungi di Ipoh, hari ini.

Katanya, pengadu datang membuat laporan polis ke Balai Polis Gopeng, 1.09 pagi tadi selepas rakannya itu masih belum ditemui.

Beliau berkata, operasi mencari dan menyelamat mangsa sedang dilakukan sejak pagi tadi yang disertai 11 anggota daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM), enam anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak dan empat anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 12:42pm
d