utama

Tiga didakwa lupus sisa toksik [METROTV]

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

“DALAM mahkamah tak ada kimia pun, kenapa nak tutup, bukalah," kata Hakim Jailani Rahman yang mengarahkan pengarah kilang memproses tayar terpakai yang dihadapkan ke mahkamah supaya membuka topeng penutup hidung dan mulut yang dipakainya ketika menghadapi pertuduhan, hari ini.

Ketika itu, nama tertuduh, Wang Jing Chao, 34, yang juga warga Singapura dipanggil untuk dibacakan pertuduhan.

Wang adalah tertuduh terakhir daripada tiga tertuduh yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru, atas tuduhan bersubahat dan melupuskan buangan minyak atau enap cemar berminyak ke dalam Sungai Kim Kim.

Bagaimanapun, ketiga-tiga tertuduh mengaku tidak bersalah atas semua pertuduhan.

Pada prosiding bermula kira-kira 10 pagi itu, tertuduh pertama, N Maridass, 35, iaitu pemandu lori didakwa melupuskan buangan terjadual yang disenaraikan dalam Jadual Pertama Peraturan-peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Buangan Terjadual) 2005 ke dalam sungai berkenaan dengan menggunakan lori dan semi treler tangki minyak sawit tanpa kelulusan bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling.

Tertuduh kedua, Yap Yoke Liang, 42, yang juga pengarah bersama kilang di Pasir Gudang itu, didakwa bersubahat dengan Maridass dan Wang melakukan perbuatan sama, manakala Wang didakwa secara berasingan bersubahat dengan Maridass dan Yap melakukan perbuatan itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan mereka berhampiran kawasan tapak projek pelebaran jambatan Sungai Kim Kim, Jalan Kota Masai 1, Pasir Gudang di sini, antara 12.01 tengah malam hingga 1 pagi, 7 Mac lalu.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 34B(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 34B(4) akta sama, manakala pendakwaan terhadap Yap dan Wang dibaca bersama Seksyen 42 akta sama.

Mereka berdepan hukuman penjara maksimum lima tahun dan denda sehingga RM500,000, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Asyraf Md Kamal tidak menawarkan sebarang jaminan dan menolak jika ada permohonan ikat jamin oleh pihak tertuduh.

Beliau mengemukakan alasan bahawa perbuatan dilakukan tertuduh itu satu perkara serius yang mana menyebabkan pencemaran alam sekitar selain insiden itu menjejaskan ribuan penduduk sekitar Pasir Gudang termasuk pelajar dan murid sekolah, selain mendapat perhatian umum.

"Jika dilihat, semua tertuduh juga ditahan di lokasi berbeza iaitu di Batu Gajah, Perak; Segamat dan Yong Peng, yang mana kita percaya ketika itu mereka cuba lari dan menyembunyikan diri," katanya.

Mahkamah bagaimanapun membenarkan Maridass diikat jamin dengan RM100,000 serta seorang penjamin, manakala Yap dibenarkan jamin dengan RM250,000 serta seorang penjamin dan pasport perlu diserahkan kepada mahkamah.

Namun, mahkamah tidak membenarkan Wang diberi ikat jamin sebelum menetapkan 30 April ini untuk sebutan semula kes.

Maridass diwakili peguam Rathakrishna, manakala peguam Maniam Nair mewakili Yap dan Wang.

Yap dan Wang bakal dihadapkan dengan 15 pertuduhan lain, petang ini.

  • Berita berkaitan gas beracun Sungai Kim Kim
  • Disiarkan pada: March 24, 2019 @ 2:14pm
    d