utama

Gelanggang raja kokok Kelantan

Siti Nor Hidayatidayu Razali

SORAKAN dan teriakan pemilik ayam hutan di luar gelanggang yang bergema berupaya memberi arahan kepada haiwan ternakan mereka supaya berkokok dengan kuat.

Suasana itu dapat dilihat menerusi program ayam hutan berkokok yang disertai 400 peserta dari seluruh Kelantan.

Ayam hutan yang berkokok dengan kuat akan dipilih sebagai pemenang dan merebut hadiah berupa barangan elektrik.

Peserta, Amin Zulbahrain, 18, berkata, dia menyertai program itu sekadar untuk mengisi hobi dan menghabiskan masa lapangnya.

Amin yang tinggal di Kampung Baru Chica, Pasir Pekan berkata, dia memiliki seekor ayam hutan yang dibeli dengan harga RM200 dari orang kampungnya.

“Saya memelihara ayam hutan sejak setahun lalu dan menyertai lebih lima pertandingan di sekitar Tumpat serta Pasir Mas.

“Ia hanya suka-suka untuk mengisi masa terluang saya dengan perkara berfaedah selain dapat berjumpa rakan yang mempunyai minat sama.

“Ayam hutan sangat senang dijaga apabila saya hanya perlu memberi makanan mengikut masa iaitu pada pagi, tengah hari dan petang,” katanya dalam program ayam hutan berkokok di Dataran Komuniti di Kampung Padang Embon di sini, kelmarin.

Kontraktor, Yusoff Ibrahim, 49, berkata, ayam hutan miliknya berjasa apabila beberapa kali memenangi hadiah saguhati.

Katanya, dia membeli ayam hutan dengan harga RM150 seekor dan bertuah kerana haiwan ternakan itu memberi kerjasama yang baik ketika bertanding.

“Saya perlu menjaga ayam ini dengan rapi supaya haiwan ia dapat berkokok dengan baik seperti yang kita mahukan,” katanya.

Pertandingan itu dimenangi Nazaruddin Ilyas dari Kampung Padang Embun, kedua, Hasanudin Che Rahman dari Kampung Kutan, Tumpat dan ketiga, Mohd Azmi Shamsuddin dari Ketereh, Kota Bharu. Masing-masing membawa pulang hadiah barangan elektrik bernilai RM3,000.

Penganjur, Datuk Suzainal Shukri berkata, program itu dianjurkan untuk mengeratkan silaturahim antara masyarakat selain memupuk semangat kerjasama.

“Saya akan sentiasa menganjurkan program ini yang menjadi sukan rakyat di Kelantan,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 7:30am
d