utama

Pesta etok Sungai Golok

Oleh Hazira Ahmad Zaidi

ORANG ramai mengambil peluang mencari etok di Sungai Golok selepas paras air sungai berkenaan semakin cetek akibat cuaca panas berpanjangan sejak bulan lalu.

Bukan sahaja penduduk di sekitar kawasan Sungai Golok, sebaliknya mereka yang di luar daerah pun sanggup ke lokasi berkenaan semata-mata untuk mencari etok.

Lebih menarik, pelbagai kaedah digunakan penduduk mengikut kreativiti masing-masing untuk mencari etok termasuk menggunakan penutup kipas bagi memudahkan mereka mengaut etok di dasar sungai.

Penduduk, Zukifali Abdullah, 61, menyifatkan sangat teruja apabila dia mendapat lima kilogram (kg) etok dengan hanya menggunakan penutup kipas hasil pencarian bersama anak dan cucunya.

Katanya, dia yang berasal dari Kampung Batu 11, Felda Kemahang 3, Tanah Merah, sanggup memandu 64 kilometer pergi dan balik bagi membawa keluarga merasai kemeriahan bermandi-manda dan mencari etok di Sungai Golok.

“Kami begitu teruja dan berbaloi menghabiskan masa di sini kerana etok yang kami dapat bersaiz besar. Biasanya saiz etok ini lebih besar jika ia dicari di kawasan air lebih dalam.

“Saya berasal dari Kampung Gual To’ Deh di sini, namun sudah lama menetap di Tanah Merah. Selepas melihat liputan media tentang suasana Sungai Golok yang dipenuhi pengunjung bagaikan berpesta, saya turut tertarik untuk pulang.

“Hasil etok yang kami dapat ini akan dimasak isteri saya, Noriah Saat, 61, untuk dijamu seluruh keluarga dan selebihnya diberi kepada jiran. Biasanya etok sedap direbus menggunakan serai atau disalai untuk dijadikan kudapan,” katanya.

Mengulas lanjut, Zukifali berkata, sebelum berpindah ke Tanah Merah, dia selalu memancing dan memukat ikan di Sungai Golok serta mengakui sudah lama tidak melihat sungai terbabit menjadi cetek sebegitu.

“Saya terkejut melihat air sungai hanya paras lutut, malah di sesetengah kawasan airnya kering-kontang. Namun, keadaan ini digunakan sebaiknya penduduk kampung dengan beriadah bermain air seakan-akan taman tema air percuma,” katanya.

Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 8:00am
d