utama

Mengaku toreh muka bekas awek

Oleh Sarah Zulkifli

PADAH menoreh muka bekas teman wanitanya menggunakan pisau sehingga mangsa menerima 50 jahitan, lelaki warga Bangladesh dipenjara 10 tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen Petaling Jaya, hari ini.

Hakim Datin Fadzlin Suraya Mohd Suah menjatuhkan hukuman itu terhadap Md Saidul Islam, 21, pekerja kedai telefon, selepas lelaki itu mengaku bersalah sebaik pertuduhan terhadapnya dibacakan dalam bahasa Inggeris.

Dalam prosiding itu, lelaki memakai baju-T berwarna putih memaklumkan mahkamah dia tidak mempunyai niat untuk melakukan kesalahan itu terhadap bekas teman wanitanya.

Fadzlin kemudian dalam penghakimannya menasihatkan tertuduh supaya insaf dan tidak mengulangi perbuatan sama kerana membabitkan kesalahan serius selain memerintahkannya menjalani hukuman itu bermula tarikh tangkapan, 7 Februari lalu.

Selepas tamat prosiding, Md Saidul dibawa keluar anggota polis kelihatan tersenyum.

Mengikut pertuduhan, dia dengan sengaja mendatangkan kecederaan parah kepada Nur Zawatie Zainal Abidin, 24, dengan menggunakan pisau pada muka mangsa di hadapan lif pusat beli belah di Petaling Jaya, 6.30 petang, 7 Februari lalu.

Pertuduhan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara tidak lebih 20 tahun dan denda atau sebatan.

Mengikut fakta kes, tertuduh dan mangsa adalah pasangan kekasih dan wanita itu mahu memutuskan hubungan disebabkan sikap lelaki itu yang panas baran dan sering memukulnya.

Ketika kejadian, lelaki itu mengekori mangsa dari belakang dan mengeluarkan pisau berukuran 9 inci (22.9 sentimeter) sebelum mengelar muka wanita itu dari belakang.

Tertuduh kemudian melarikan diri sebelum mangsa yang kesakitan menghubungi rakannya untuk bantuan dan kemudian menceritakan insiden yang menimpa dirinya.

Rakan wanita yang mendapati mangsa mengalami banyak pendarahan kemudian membawanya ke KPJ Damansara dan mangsa dipindakan ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Kelaran itu menyebabkan mangsa menerima koyakan pipi kanan sehingga kawasan kiri muka melalui atas bibir serta mendapat 50 jahitan di bahagian itu dan sehingga kini masih dirawat.

Pendakwaan kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asyraf Ashy'ari Kamaruzzaman manakala tertuduh diwakili peguam Datuk Suraj Singh.

  • Angkara bekas kekasih
  • Disiarkan pada: March 25, 2019 @ 1:15pm
    d