utama

[UPDATE] Polis jumpa tengkorak, cebisan daging

Oleh Abnor Hamizam Abd Manap

POLIS menemui tengkorak dan beberapa cebisan daging dipercayai mayat lelaki yang dilaporkan hilang kira-kira lapan bulan lalu dalam tangki air milik Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) di FELDA Palong 12 di Jempol, semalam.

Ketua Polis Daerah Jempol Superintendan Muhd Nur Hishamuddin Hashim berkata, bahagian cebisan itu ditemui selepas operasi mengeluarkan mayat terbabit dilakukan anggota bomba, pada 1 tengah hari.

Beliau berkata, pada mulanya polis menerima laporan daripada pekerja SAINS yang melakukan pemantauan paras air sebelum menemui objek seperti mayat terapung dalam tangki air berkenaan.

"Bertindak atas laporan itu, sepasukan polis bersama bomba ke lokasi. Anggota bomba memasuki tangki air itu dan berjaya mengeluarkan bahagian pinggang ke bawah pada 1.40 tengah hari.

"Usaha mencari anggota badan lain diteruskan dan mengeluarkan beberapa cebisan daging pada 2 petang.

"Seterusnya operasi dihentikan bagi tujuan pembuangan air dalam tangki berkenaan dan beberapa bahagian lain seperti tengkorak, rahang serta tulang ditemui 6.10 petang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Muhd Nur Hishamuddin berkata, anggota badan dan cebisan itu dihantar ke Hospital Jempol untuk bedah siasat.

Katanya, berdasarkan penemuan dompet dan MyKad di dalam seluar yang dijumpai bersama mayat itu didapati milik lelaki berusia 20-an berasal dari Desa Keratong, Rompin.

"Semakan daripada Mykad itu mendapati mangsa pernah dilaporkan hilang pada Julai tahun lalu oleh bapanya di Bandar Tun Razak, Keratong.

"Oleh itu, polis mengesan waris dan memanggil mereka bagi tujuan pengecaman termasuk mengenal pasti pakaian mangsa," katanya.

Bagaimanapun katanya, identiti sebenar mangsa hanya dapat disahkan selepas laporan bedah siasat diperoleh dan pengecaman dibuat.

Berita berkaitan

Mayat lelaki dalam tangki air

Disiarkan pada: March 26, 2019 @ 1:01pm
d