utama

Intai peluang ke layar perak

Oleh Norhayati Nordin

Enam tahun aktif dalam bidang lakonan, masih ada impian besar yang belum mampu dicapai Saharul Ridzwan.

Tanpa berselindung, bapa seorang anak ini memberitahu dia teringin mengetengahkan bakat lakonan di layar perak.

Selepas stabil menimba pengalaman membintangi drama, sudah tiba masa untuk cuba dapatkan peluang berlakon filem pula.

Menurut Saharul, dia menyasarkan kemungkinan peluang untuknya membintangi filem akan diperoleh sekitar tahun depan.

“Saya tahu tidak mudah untuk mendapatkan peluang berlakon, apa lagi untuk filem. Namun, ia sekadar impian ingin dicapai.

“Sebagai pelakon, di antara drama dan filem banyak bezanya. Jadi, tahap saya sekarang mungkin sudah berjaya berlakon drama. Tetapi, untuk filem saya perlu bekerja keras ke arah mendapatkan peluang itu terutama rezeki berlakon karya aksi,” katanya.

Saharul berkata, tahun ini dia juga memberi fokus pada memantapkan bidang perniagaan yang diceburinya.

“Selain membuat perancangan dalam karier seni, bidang perniagaan diceburi untuk jaminan masa depan keluarga.

“Sampai bila saya perlu berlakon dan diterima penonton? Jadi, dari sekarang saya perlu memikirkan perancangan seterusnya. Minat saya pada lakonan takkan pudar dan selagi ada permintaan sudah pasti akan muncul produk lakonan baru yang dibintangi,” katanya.

Sehubungan itu, Saharul juga mencuba nasib dalam nyanyian sebagai ‘rapper’ untuk lagu Buku Putih bersama komposer dan penyanyi, Ajai.

Katanya, pembabitan menyanyi sekadar mencuba kerana mendapat kepercayaan menghasilkan lirik bersama untuk lagu itu.

“Saya pun tak sangka lirik rap yang ditulis bagi lagu Buku Putih itu diterima baik Ajai. Ia sekadar cuba-cuba saja,” katanya.

Selesa bekerjasama dengan Ajai, pelakon drama Jangan Benci Cintaku di TV3 itu berkata, mereka saling berbincang.

Jelasnya, dia puas dan gembira kerana lagu Buku Putih dihasilkan itu adalah gabungan ilham bersama dengan komposer berkaliber seperti Ajai.

Berbicara juga perkembangan karier lakonannya, Saharul berkata, dia ada menerima beberapa tawaran yang masih dalam pertimbangan.

Bagaimanapun, Saharul teruja apabila drama Jangan Benci Cintaku berjaya tersenarai untuk beberapa kategori di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) 2019 yang berlangsung pada 7 April nanti.

Disiarkan pada: March 27, 2019 @ 5:30am
d