utama

Suspek suka cucuk tanam

Oleh Izlaily Nurul Ain Hussein

BATU PAHAT: Tiada tanda mencurigakan. Itu diluahkan jiran anggota polis berpangkat lans koperal yang ditahan bagi membantu siasatan kes penemuan mayat seorang lelaki ditanam di belakang rumahnya di Bandar Baru Putera Indah dekat Tongkang Pechah, di sini.

Jiran yang menetap berhampiran rumah suspek berkata, anggota polis berusia 30-an itu seorang yang tidak banyak bercakap dengan jiran, malah wajah dan penampilannya langsung tidak menggambarkan perkara pelik dilakukannya.

“Kami tahu dia anggota polis. Dari segi penampilannya dia seperti tiada masalah.

“Kami juga tahu dia menetap di rumah itu seorang diri dan isterinya dipercayai bertugas sebagai guru tinggal berasingan.

“Isterinya datang ke rumah pada hari minggu dan mereka nampak bahagia seperti keluarga lain,” katanya.

Harian Metro turut ke lokasi kejadian dan mendapati sekeliling rumah teres setingkat didiami suspek kini dipasang garisan kuning polis.

Selain itu, bahagian hadapan rumah terdapat timbunan tanah manakala belakang rumah jelas kelihatan satu lubang disyaki lubang tempat suspek menanam mayat mangsa.

Menurut jiran yang enggan dikenali, suspek memang dilihat suka bercucuk tanam, tetapi beberapa hari sebelum kejadian terbongkar, penduduk hairan kewujudan timbunan tanah di depan rumah suspek.

“Selalu dia beli tanah dalam beg dibungkus kecil, jadi bila kami ternampak timbunan tanah banyak, kami tertanya juga apa yang dia nak tanam,” katanya.

Menurutnya, sejak 18 Mac lalu hingga suspek ditahan, dia beberapa kali melihat jirannya, tetapi lelaki berkenaan tidak menunjukkan tanda mencurigakan kecuali keluar rumah untuk bekerja lebih awal berbanding biasa.

“Dalam seminggu lebih ini, dia seperti biasa saja cuma saya perasan dia keluar rumah lebih awal ke tempat kerja. Saya nampak dia beberapa kali dalam tempoh itu,” katanya.

Menurutnya, dia dan jiran lain terhidu bau busuk, namun menyangka ada bangkai haiwan di kawasan berhampiran.

Bagaimanapun, bau busuk yang semakin hari semakin kuat terungkai selepas penemuan mayat di belakang rumah suspek.

Katanya, dia pernah ternampak mangsa lelaki yang ditanam datang ke rumah suspek sebelum ini.

“Mangsa selalu ke rumah suspek. Saya selalu nampak motosikalnya dan ada rakan lelaki suspek yang lain datang ke rumah.

“Namun dalam tempoh seminggu lebih ini, saya tidak perasan bila mangsa datang ke rumah itu,” katanya yang menetap di situ sejak 2017.

Disiarkan pada: March 30, 2019 @ 7:00am
d