utama

'Semua orang teringin, begitu juga saya'

Oleh Amirul Haswendy Ashari

Selepas bergelar isteri kepada pelakon dan pengarah Pekin Ibrahim dalam majlis tertutup pada 7 Disember tahun lalu, pelakon dan model jelita, Mona Allen, 33, mengaku kesibukan kerja membataskan waktu untuk merasai nikmat berumah tangga.

Malah, pasangan ini belum sempat berbulan madu serta mengadakan majlis resepsi bagi meraikan status baharu mereka.

Sebagai wanita, tipulah jika dia tidak menyimpan impian untuk mengadakan majlis resepsi yang mempunyai tema tersendiri.

“Semua orang teringin, begitu juga saya. Namun, saya kena akur dengan permintaan keluarga tidak mahu mengadakan majlis secara besar-besaran. Saya okey saja asalkan segala urusan yang wajib sudah selesai,” katanya.

Selepas majlis pernikahan lalu, keluarganya sudah mengadakan majlis bagi pihak pengantin lelaki secara kecil-kecilan saja.

Katanya, bukan tidak mahu mengadakan majlis besar lain, tetapi disebabkan kesibukan mereka berdua membataskan impian dilaksana.

“Masing-masing sibuk dengan kerja, saya sendiri terikat dengan penggambaran drama Lara Syakila sehingga Mei depan. Suami pula baru saja selesai penggambaran telefilem dan bakal menjalani penggambaran filem pula,” katanya.

Bagaimanapun, mereka merancang untuk berbulan madu ke Santorini, Greece selepas Aidilfitri tahun ini.

Berkahwin dengan Pekin yang juga pengarah filem, Mona tidak menolak kemungkinan bekerja bawah arahan suaminya pada masa depan.

Malah, dia sudah pun mendapat perkhabaran mengenai kerjasama itu daripada mulut suaminya sendiri.

“Dia ada tanya jika minat berlakon dalam sebuah filem arahannya. Kalau tiada aral atau bertembung dengan tawaran lain, saya tiada masalah.

“Cuma pada masa ini, dia sibuk dengan proses praproduksi sebuah filem kerjasama Malaysia dan Indonesia, jadi, saya tidak mahu mengganggunya,” katanya.

Berbicara mengenai kehidupan suami isteri, Mona tidak mahu terlalu ghairah bercerita mengenainya.

Katanya, itu adalah prinsip yang dipegang bersama suami supaya tidak terlalu terbuka berkongsi hal rumah tangga kepada umum.

“Setakat sikit-sikit bolehlah tetapi untuk tanya lebih-lebih, kami tidak akan jawab. Kami lebih suka privasi dalam kehidupan peribadi.

“Walau pun bergelar artis, tidak semua perkara perlu dan boleh dikongsi kepada orang lain, bukan?” katanya.

Disiarkan pada: March 31, 2019 @ 6:01am
d