utama

Tersenyum dihukum penjara 40 bulan

Oleh Sarah Zulkifli

WANITA warga Vietnam, Doan Thi Huong tersenyum selepas Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini, menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun dan empat bulan atas pertuduhan alternatif dihadapinya, menyebabkan kecederaan abang tiri pemimpin Korea Utara, Kim Chol atau Kim Jong-nam dengan menggunakan bahan berbahaya.

Hakim Datuk Azmi Ariffin menjatuhkan hukuman itu terhadap Doan, 30, selepas tertuduh mengaku bersalah sebaik pertuduhan alternatif yang ditawarkan dibacakan terhadapnya dalam bahasa Vietnam pada prosiding hari pertama bela diri.

Doan diperintahkan menjalani hukuman itu bermula dari tarikh tangkapan, 15 Februari 2017.

Sepanjang prosiding itu, Doan dilihat menundukkan kepalanya beberapa kali di dalam kandang tertuduh dan tersenyum selepas mendengar keputusan berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh bersama empat lagi yang masih bebas didakwa dengan sengaja telah menyebabkan kecederaan ke atas Kim Chol dengan menggunakan bahan yang merbahaya kepada tubuh badan apabila dimasukkan ke dalam saluran darah iaitu cecair racun VX.

Kesalahan itu didakwa dilakukan Balai Berlepas Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) 9 pagi, 13 Februari 2017.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau dengan mana-mana jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, Doan didakwa membunuh Kim Chol mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati, jika disabit kesalahan.

Pada 15 Mac lalu, Doan dibawa ke Wad Psikiatri Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk pemeriksaan kesihatan kerana tidak boleh tidur selepas Siti Aisyah, warga Indonesia, dilepaskan tanpa dibebaskan daripada pertuduhan membunuh.

Disiarkan pada: April 1, 2019 @ 11:43am
d