utama

Terima apa saja watak

Oleh Syanty Octavia Amry

BERJAYA membuktikan kepada industri bahawa pelawak juga mampu tampil sebagai hero, Fikry Ibrahim sekali lagi diberi kepercayaan menjayakan watak utama drama bersiri Encik Imam Ekspres bergandingan dengan pelakon Nelydia Senrose.

Bakat Fikry, 24, mula digilap selepas menyertai pertandingan Lawak Solo namun sehingga kini dia lebih kerap diberikan watak serius. Berkongsi mengenai perkara itu, Fikry berkata, dia menerima setiap rezeki yang datang namun masih berharap peminat mengenali dirinya sebagai pelawak.

“Alhamdulillah, semua ini rezeki apabila sering dipertanggungjawab menghidupkan watak hero.

“Saya menolak dakwaan segelintir pihak pelawak tidak sesuai tampil sebagai hero. Ini kerana kita dapat lihat ramai pelawak jadi hero termasuk Zizan Razak, Nabil Ahmad dan Apek,” katanya.

Mengulas mengenai pencalonannya dalam Anugerah MeleTOP Era 2019 menerusi kategori Artis Lawak MeleTOP, Fikry tidak menyangka masih ada peminat yang menghargainya sebagai pelawak.

Fikry tercalon dalam kategori berkenaan untuk drama bersiri Cik Reen Encik Ngok Ngek.

“Saya memang terharu apabila masih dianggap lucu oleh peminat sehingga tercalon dalam kategori Artis Lawak MeleTOP. Sekurang-kurangnya ia mengingatkan penonton saya bermula sebagai seorang pelawak dan watak dalam drama berkenaan juga lucu.

“Bagi saya lakonan dan lawak adalah dua perkara yang berkait rapat. Malah saya terima apa juga watak diberikan tidak kira lawak mahupun serius,” katanya.

Dalam pada itu, Fikry juga tidak mahu terlalu memilih dan mana tawaran yang datang dulu dia akan terima dengan hati terbuka.

“Sebenarnya apa watak pun, sebagai pelakon kita perlu kreatif mencorakkannya.

“Contohnya dalam drama Kerna Syurga Bukan Percuma, watak saya serius dan sedih. Kadang-kadang saya selitkan juga unsur jenaka untuk mencantikkan lagi babak. Tidaklah serius sepanjang masa,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 5:30am
d