utama

Tinggal dua hari lagi

Oleh Dziyaul Afnan Abdul Rahman

BERBAKI dua hari sebelum Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) membawa kes membabitkan bekas presiden, Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie ke mahkamah, individu berkenaan masih lagi berdiam diri dan enggan memberi sebarang maklum balas.

Pemangku Presiden PFA, Mohamad Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan (gambar) berkata, pihaknya memberi tempoh sehingga Khamis ini untuk Ahmad Amizal tampil membantu menyelesaikan semua masalah yang ditimbulkan tetapi hingga kini, beliau masih belum memberikan kerjasama.

“Kita sudah memberikan peluang kepadanya tetapi beliau masih berdiam diri dan tidak memberi maklum balas. Jadi kami hanya boleh menunggu sehingga Khamis ini, jika masih tiada apa-apa, maka kami akan ke mahkamah saja,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, surat tuntutan berjumlah lebih RM3 juta itu dikeluarkan dan diberikan kepada Ahmad Amizal beberapa hari lebih awal sebelum pihaknya memaklumkan kepada media.

“Kita beri tempoh sehingga 4 April ini bagi beliau menyelesaikan hutang PFA dan bukannya 9 April seperti yang dilaporkan media sebelum ini,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Ahmad Amizal diberi masa 14 hari untuk menyelesaikan hutang PFA selepas kerosakan yang berlaku ke atas badan induk itu sepanjang empat bulan memegang jawatan presiden.

Tuntutan itu dikeluarkan Abdul Karim pada 27 Mac lalu selepas Ahmad Amizal ‘hilang’ meskipun notis tuntutan sudah dikeluarkan sebelum itu.

Sementara itu, mengulas mengenai kemasukan Ahmad Amizal ke dalam badan induk itu, Abdul Karim menafikan dakwaan sesetengah pihak bahawa Jawatankuasa PFA yang memujuk ahli perniagaan berkenaan supaya memimpin PFA.

“Beliau (Ahmad Amizal) yang mencari kami dan menawarkan bantuan di saat PFA berada dalam kemelut, bukan sebaliknya. Sudahlah kami ditipu, tapi dikecam pula oleh peminat Singa Utara seolah-olah semua yang berlaku berpunca daripada kami,” katanya.

Disiarkan pada: April 2, 2019 @ 6:01am
d