utama

UiTM siasat pensyarah disyaki zina penuntut

Oleh Faliq Lajim

UNIVERSITI Teknologi MARA (UiTM) menjalankan siasatan mengenai dakwaan membabitkan pensyarah di cawangan Dengkil yang gemar berzina dengan penuntut universiti itu seperti tular di media sosial, baru-baru ini.

Naib Canselor UiTM, Prof Dr Mohd Azraai Kassim berkata, pihaknya sudah membuat laporan polis mengenai perkara itu bagi tindakan lanjut.

“Kami turut sedang melakukan siasatan mengenainya dan tidak pasti sama ada dakwaan itu benar atau sebaliknya.

“Saya sudah mengarahkan pegawai untuk membuat satu laporan polis dan menyerahkannya kepada polis untuk menyiasat.

“Kami juga mempunyai prosedur dan jika didapati betul ada kes seperti didakwa, kita akan membawa perkara itu dalam jawatankuasa tatatertib untuk tindakan lanjut,” katanya kepada Harian Metro.

Kata Mohd Azraai, pihaknya mengalukan kerjasama pemberi maklumat yang mempunyai bukti mengenai dakwaan itu.

“Kita mahu ‘whistle blower’ itu tampil membuat laporan supaya siasatan boleh dibuat. Jika terbukti, kita akan ambil tindakan.

“Maklumat itu juga akan dirahsiakan dan dilindungi,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pengguna Twitter memuat naik satu status berkaitan ‘Unpopular Opinion’ (pandangan tidak popular) berkaitan UiTM Dengkil.

Status itu kemudian mendapat perhatian pengguna yang memberi maklum balas dengan merujuk kepada status berkenaan.

Pengguna itu mendakwa pensyarah suka berzina dengan penuntut dan mereka semua adalah sama tanpa mengira lelaki atau wanita.

Ia kemudian mendapat perhatian seorang pengguna lain yang mendakwa dirinya adalah pensyarah yang pernah mengajar di UiTM itu.

“Tuduhan ini sangat serius. Saya seorang Pensyarah Undang-undang dan pernah mengajar pelajar asasi di Dengkil. Tuduhan ini, mungkin memberi kesan kepada saya dan kakitangan di Fakulti Undang-Undang. Kami akan mempertimbangkan untuk mengambil tindakan yang sesuai,” katanya.

Status itu kemudiannya tular dan mendapat pelbagai respon oleh pengguna Twitter yang lain.

Disiarkan pada: April 3, 2019 @ 10:19am
d